PASARAN

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Didorong Sentimen Risiko Global Lemah

20/05/2026 07:49 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Rabu apabila sentimen risiko global yang lemah menjejaskan keyakinan pelabur, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras susut 9.58 mata atau 0.56 peratus kepada 1,717.69 daripada 1,727.27 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka 0.33 mata lebih rendah kepada 1,726.94 bergerak antara 1,716.47 hingga 1,727.50 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Pasaran secara menyeluruh adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 840 berbanding 366, manakala 518 kaunter tidak berubah, 993 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.15 bilion unit bernilai RM4.29 bilion daripada 3.36 bilion unit bernilai RM3.24 bilion pada Selasa.

Mengulas mengenai pasaran, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen kekal tidak stabil susulan penjualan besar-besaran saham semikonduktor dan teknologi global.

Katanya ini berikutan lonjakan hasil bon dan kebimbangan terhadap inflasi yang berterusan, sekali gus meningkatkan jangkaan bahawa bank pusat utama mungkin mengekalkan kadar faedah yang lebih tinggi bagi tempoh lebih lama.

“Pendekatan pelabur yang berhati-hati meningkat berikutan ketegangan geopolitik baharu selepas Presiden AS Donald Trump mengancam kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran, ini mencetuskan kebimbangan terhadap potensi gangguan kepada pasaran tenaga global serta kestabilan kewangan yang lebih luas,” katanya kepada Bernama.

Pada peringkat tempatan, Mohd Sedek berkata tekanan jualan dapat dilihat di kaunter-kaunter teknologi, kewangan dan berorientasikan eksport apabila pelabur mengekalkan pendirian defensif di tengah-tengah ketidaktentuan luaran.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing susut dua sen kepada RM11.06 dan RM4.77, CIMB turun lapan sen kepada RM7.76, Tenaga Nasional merosot enam sen kepada RM14.46, manakala IHH Healthcare kurang satu sen kepada RM8.99.

Antara saham paling aktif, syarikat baharu yang mula disenaraikan di Pasaran Utama, SkyeChip, melonjak RM1.33 kepada RM2.21, manakala Zetrix AI dan VS Industry masing-masing menyusut setengah sen kepada 83 sen dan 19.5 sen. Capital A merosot satu sen kepada 43 sen, manakala Hong Seng Consolidated tidak berubah pada satu sen.

Bagi kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.00 kepada RM44.20, Fraser & Neave meningkat 50 sen kepada RM29.22, Sunway Construction menokok 30 sen kepada RM7.60, Coastal Contracts menambah 19 sen kepada RM1.48, manakala Kelington Group meningkat 16 sen kepada RM7.14.

Bagi kaunter paling rugi, Petronas Gas susut 52 sen kepada RM17.20, Petronas Dagangan berkurang 38 sen kepada RM18.82, Wasco merosot 20.5 sen kepada 89.5 sen, manakala VSTECS dan PPB Group masing-masing jatuh 18 sen kepada RM5.75 dan RM10.30.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 86.20 mata kepada 12,717.50, Indeks FBMT 100 susut 81.47 mata kepada 12,558.61, Indeks FBM Mid 70 merosot 166.98 mata kepada 18,208.94, Indeks FBM Emas Syariah jatuh 91.45 mata kepada 12,643.71 dan Indeks FBM ACE menyusut 48.63 mata kepada 4,657.96.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 39.73 mata kepada 8,660.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.42 mata kepada 199.29, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 70.65 mata kepada 20,012.41, manakala Indeks Tenaga merosot 10.56 mata kepada 792.49.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.32 bilion unit bernilai RM3.93 bilion daripada 1.67 bilion unit bernilai RM2.74 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.15 bilion unit bernilai RM140.12 juta daripada 831.30 juta unit bernilai RM108.30 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 685.47 juta unit bernilai RM223.24 juta daripada 853.98 juta unit bernilai RM394.67 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 293.48 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti oleh produk dan perkhidmatan perindustrian (428.45 juta), pembinaan (205.44 juta), teknologi (687.22 juta), perkhidmatan kewangan (70.26 juta), hartanah (186.87 juta), perladangan (33.75 juta), amanah pelaburan hartanah (12.29 juta), dana tertutup (23,200), tenaga (145.98 juta), penjagaan kesihatan (93.22 juta), telekomunikasi dan media (81.87 juta), pengangkutan dan logistik (30.75 juta), utiliti (47.59 juta) dan amanah perniagaan (32,200).

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada 27 Mei sempena cuti umum perayaan Aidiladha dan akan kembali beroperasi pada 28 Mei.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya juga akan ditutup pada 1 dan 2 Jun sempena cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan Hari Wesak, sebelum kembali beroperasi pada 3 Jun.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559649