Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengekalkan kedudukan Pusat Pengalaman Memandu (DEC) yang baru siap sebagai fasiliti bertaraf premium walaupun penggunaannya pada peringkat awal masih sederhana.
Menurutnya langkah ini memandangkan inisiatif berkenaan adalah antara usaha untuk menghasilkan aset bukan perlumbaan dan mempelbagaikan sumber pendapatan.
DEC adalah fasiliti yang menfokuskan kepada keselamatan pemanduan dengan peralatan khusus yang direka untuk mensimulasikan situasi pemanduan harian, menyediakan persekitaran selamat dan terkawal untuk pemandu mengasah serta melatih kemahiran mereka di litar pengendalian DEC.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata pusat yang dibina khas itu kini beroperasi pada kadar penggunaan sekitar 20 hingga 30 peratus.
Beliau berkata kadar penggunaan itu dijangka meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan sasaran untuk mencapai tahap yang setanding dengan litar utama iaitu sekitar 80 hingga 90 peratus.
“Projek ini pada asasnya adalah kepelbagaian daripada perniagaan utama kami,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
DEC adalah antara projek utama SIC dalam pelan induk jangka panjang terdahulu yang memberi tumpuan kepada pemodenan infrastruktur dan tawaran komersial.
Pusat berkenaan dibina dengan menghubungkan sukan permotoran dengan industri automotif dan keselamatan jalan raya sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan SIC terhadap acara berskala besar.
Program ini memberi tumpuan kepada latihan pemanduan selamat dan pengalaman memandu untuk pelanggan korporat dan pemandu biasa.
Pembinaan fizikal pusat ini bermula pada 2021, namun berdepan cabaran pelaksanaan semasa pandemik COVID-19 yang mengubah skala dan jadual asal pembangunan.
Fasa kedua pembinaan yang terdiri daripada komponen hospitaliti telah siap baru-baru ini sekali gus membolehkan keseluruhan fasiliti ini beroperasi sepenuhnya untuk sesi latihan teori dan praktikal bersepadu.
Walaupun kadar penggunaannya agak rendah, SIC tidak bercadang untuk menurunkan harga atau bersaing dari segi harga, sebaliknya mahu mengekalkan DEC sebagai kemudahan premium.
“Kami tidak mahu meletakkan harga pada kadar terlalu rendah memandangkan ini adalah fasiliti bertaraf dunia,” katanya.
DEC dilengkapkan dengan litar pengendalian sepanjang 1.5 kilometer, modul kawalan gelincir dan infrastruktur latihan, yang dibangunkan secara berperingkat selepas skala projek itu disesuaikan berikutan kenaikan kos bahan.
Komponen hospitaliti yang merangkumi bilik kuliah dan kemudahan mesyuarat juga telah siap bagi menyokong aktiviti latihan.
Azhan Shafriman berkata penggunaan awal DEC banyak disokong oleh pengeluar automotif, program keselamatan dan acara pengalaman pemanduan, termasuk pelancaran kenderaan dan aktiviti pemanduan.
Beliau berkata kadar penggunaan dijangka meningkat apabila kesedaran bertambah dan lebih banyak pengeluar menggunakan fasiliti itu dalam program mereka di samping potensi permintaan daripada pelanggan korporat dan program latihan berkaitan kerajaan.
Dari segi operasi, SIC mengekalkan struktur kos yang rendah untuk DEC dengan pasukan dalaman yang kecil, disokong oleh perkhidmatan luar dan penyedia latihan.
SIC tidak mendedahkan jumlah perolehan atau tempoh pulang modal yang dijana DEC, dan menurutnya fokus utama DEC adalah untuk meningkatkan kadar penggunaannya dalam jangka panjang dan meluaskan ekosistem di sekitar fasiliti itu.
-- BERNAMA