Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan mekanisme subsidi bahan api Malaysia terbukti terus membantu pemandu perkhidmatan e-panggilan mengurus kenaikan kos operasi, sekali gus membolehkan ramai terus bertahan walaupun diasak tekanan lonjakan harga minyak global, menurut satu platform mobiliti.
Subsidi bahan api RON95 serta kuota 800 liter sebulan untuk pemandu e-panggilan dapat membantu dari segi mengurangkan perbelanjaan bahan api, termasuk bagi khidmat inDrive selain menyokong pendapatan serta ketersediaan dalam sektor berkenaan.
Pengarah inDrive Asia Pasifik, Mark Tolley berkata langkah itu dapat membantu menstabilkan industri selain memastikan perkhidmatan e-panggilan kekal mudah diakses dan mampu milik kepada pengguna.
“Di Malaysia, langkah meneruskan subsidi bahan api itu berperanan penting dalam aspek menstabilkan (sektor ini),” katanya kepada Bernama.
Beliau turut menegaskan, sokongan itu membantu mengurangkan tekanan kos harian yang ditanggung pemandu, memastikan ketersediaan perkhidmatan serta penglibatan berterusan pemandu dalam sektor e-panggilan berkenaan.
Keadaan itu, katanya, jauh berbeza daripada segelintir negara-negara jiran yang menyaksikan kalangan pemandu menjadi lebih selektif atau memilih kerana bekalan bahan api yang terhad.
Utama kecekapan berbanding kenaikan tambang
Tolley berkata pendekatan Malaysia dalam mengendalikan isu itu telah membolehkan industri tempatan kekal relatif stabil dan memastikan perkhidmatan e-panggilan itu dapat terus diakses dan berpatutan di tengah-tengah tekanan inflasi yang meluas.
Pada masa sama, katanya, kalangan pengguna Malaysia menjadi lebih peka tambang atau harga dan secara aktif bertindak membandingkan masa dijangka tiba serta keyakinan terhadap perkhidmatan itu sebelum membuat tempahan perjalanan.
Berikutan itu, pengendali e-panggilan semakin menumpukan aspek kecekapan operasi, pengoptimuman teknologi serta ketelusan harga berbanding menaikkan harga tambang secara meluas.
Bersandarkan kepentingan itu, Tolley berkata kebanyakan platform kini bergantung kepada pelarasan penetapan harga bersasar, pengurangan perbelanjaan promosi, melaksanakan penyusunan semula dan sistem laluan berteraskan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan serta mengurangkan masa menunggu di pihak pemandu.
Walaupun dihimpit persekitaran operasi lebih tinggi, beliau berkata inDrive sebaliknya tidak menjangkakan kenaikan harga tambang secara mendadak atau agresif di Malaysia.
“Persaingan lebih cenderung memacu inovasi perkhidmatan dan menambahbaikan kecekapan berbanding kenaikan tambang secara agresif,” katanya.
Bagi terus menyokong pemandu, inDrive memperkenalkan inisiatif komisyen sementara sebanyak satu peratus di Kuala Lumpur sehingga 31 Mei bagi mengurangkan tekanan kos.
Selepas tarikh itu, beliau berkata inDrive akan menilai semula situasi dan meneroka kaedah bersesuaian untuk menyokong pemandu sesuai dengan keadaan yang berlaku.
Tolley menjelaskan bahawa salah satu langkah inDrive ialah Liga Pemandu Platinum dan pada tahun ini, kempen itu memberi ganjaran kepada rakan pemandu dengan hadiah mingguan dan hadiah utama bernilai lebih RM100,000.
Malaysia kekal pasaran mobiliti menarik
Di sebalik cabaran ekonomi semasa, Tolley berkata Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran mobiliti paling menarik di rantau ini, disokong oleh perbandaran yang pesat, penembusan telefon pintar yang tinggi dan peningkatan pergantungan terhadap perkhidmatan e-panggilan bagi perjalanan ulang-alik harian serta mobiliti pelancongan.
Beliau menjangkakan permintaan perkhidmatan e-panggilan di Malaysia kekal stabil dengan pertumbuhan sederhana dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, disokong oleh aktiviti ekonomi yang lebih kukuh, pemulihan sektor pelancongan dan permintaan mobiliti bandar yang berterusan.
Tolley juga berkata unjuran Bank Negara Malaysia mengenai pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak empat hingga lima peratus pada 2026 dijangka menyokong mobiliti perbelanjaan pengguna walaupun ketidaktentuan global yang berterusan.
Selain itu, Tahun Melawat Malaysia 2026 juga dijangka memacu permintaan bagi pengangkutan lapangan terbang dan perjalanan dalam bandar.
Persediaan industri bagi kemampanan jangka panjang
Tolley berkata di peringkat dasar, Malaysia juga sedang menyediakan pihak industri dengan kemampanan jangka panjang melalui inisiatif seperti cadangan Akta Pekerja Gig, yang mencerminkan usaha yang meluas untuk mengukuhkan perlindungan dan kebertanggungjawaban dalam ekonpmi platform.
Beliau berkata walaupun peraturan masa depan boleh meningkatkan kos pematuhan terhadap insurans dan manfaat pekerja, ia juga akan membantu mewujudkan ekosistem yang lebih mampan serta berstruktur bagi pemandu dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, pertumbuhan fasa seterusnya untuk industri Asia Pasifik berkemungkinan dibentuk oleh ekosistem mobiliti bersepadu yang menggabungkan perkhidmatan seperti e-panggilan, penghantaran dan perkhidmatan kewangan.
“Teknologi akan terus memainkan peranan penting, terutamanya menerusi penghalaan dipacu AI, pemadanan ramalan dan ciri keselamatan yang dipertingkatkan,” katanya.
Kemampanan juga akan menjadi semakin penting dengan penggunaan kenderaan elektrik yang lebih kukuh dan integrasi yang lebi baik dengan sistem pengangkutan awam.
“Bagi industri, cabarannya ialah mencari keseimbangan yang tepat antara tambang yang berpatutan untuk pengguna dan pendapatan mampan bagi pemandu,” katanya.
-- BERNAMA