GEORGE TOWN, 19 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kini berada pada tahap kesiapsiagaan kira-kira 75 peratus bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal.
Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata walaupun jentera parti sentiasa bersiap siaga, keutamaan kerajaan negeri ketika ini tetap tertumpu kepada usaha memastikan setiap janji dalam manifesto kepada rakyat ditunaikan sepenuhnya.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata setakat 30 April lepas, kerajaan negeri telah melaksanakan 60 peratus daripada 50 janji di bawah Manifesto Kerajaan Perpaduan 2023 (MyPenang Manifesto)
"Sebanyak 17 lagi atau 34 peratus sedang dalam pelaksanaan, manakala hanya tiga atau enam peratus belum dimulakan, setakat 30 April lepas," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Komtar, di sini hari ini.
Mengenai kesediaan menghadapi pilihan raya, Chow berkata isu utama bukanlah sama ada bersedia 100 peratus atau sebaliknya, sebaliknya tahap kesiapsiagaan jentera sekiranya Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan secara mengejut.
"Isunya sama ada bersedia 100 peratus atau 80 peratus, itu sahaja perbezaannya. Jika tanya saya, saya akan kata tahap kesiapsiagaan sekitar 75 peratus,” katanya.
Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU16 lebih awal sekiranya rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik negara.
Sementara itu, Chow berkata kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang bagi menghadapi pilihan raya akan datang kekal terbuka dan tertakluk kepada keputusan kepimpinan di peringkat nasional.
Beliau berkata setiap negeri mempunyai dinamik politik tersendiri, namun keputusan muktamad tetap bergantung kepada kepimpinan pusat untuk diselaraskan oleh semua negeri.
Ketika menyampaikan amanat pada kemuncak Konvensyen PH 2026 di Johor Bahru pada Ahad lepas, Anwar menyatakan kesediaan PH meletakkan calon di semua kawasan DUN di Johor dan Negeri Sembilan sekiranya UMNO serta BN memutuskan untuk bertanding di semua kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.
-- BERNAMA