EKONOMI

KLK Raih Untung Bersih Suku Kedua Lebih Tinggi Sebanyak RM294.04 Juta

18/05/2026 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM294.04 juta pada suku kedua berakhir 31 Mac 2026 daripada RM154.26 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2025.

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan prestasi yang lebih baik itu disumbangkan terutamanya oleh segmen pembuatan dan jualan.

Perolehan meningkat kepada RM6.54 bilion daripada RM6.33 bilion sebelumnya.

Menurut makluman itu, walaupun mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak RM5.704 bilion, segmen pembuatan mengalami kerugian besar sebanyak RM42.4 juta.

“Prestasi pada suku semasa terjejas terutama disebabkan penyusutan sumbangan keuntungan daripada segmen oleokimia, namun sebahagiannya diimbangi oleh kerugian lebih rendah daripada segmen penapisan dan bukan oleokimia,” menurutnya.

Sementara itu, keuntungan daripada segmen hartanah menyusut 47.2 peratus kepada RM1.9 juta, dengan perolehan yang lebih rendah berjumlah RM25.7 juta.

Keuntungan daripada segmen perladangan turut merosot 21.1 peratus kepada RM358.5 juta berikutan harga jualan minyak sawit mentah dan isirung sawit yang rendah.

“Segmen pelaburan pegangan/lain-lain mencatatkan kerugian yang ketara lebih rendah sebanyak RM19.4 juta berbanding RM94.8 juta tahun lepas,” menurutnya.

Bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2026, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih yang tinggi sebanyak RM676.46 juta berbanding RM374.72 juta sebelum ini. Perolehan turut meningkat kepada RM12.89 bilion daripada RM12.28 bilion tahun lepas.

Syarikat itu mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 20 sen sesaham yang akan dibayar pada 28 Julai 2026.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558743