EKONOMI

Impak Krisis Bekalan Global Dijangka Lebih Ketara Pada Suku Ketiga, Intervensi Kerajaan Pastikan Rakyat Tidak Terkesan

19/05/2026 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Impak krisis bekalan global dijangka lebih ketara pada suku ketiga tahun ini, khususnya terhadap kestabilan harga, kos operasi industri dan pasaran buruh, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Ahmad Nasir.

Beliau berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, selain kadar pengangguran yang kekal pada tahap guna tenaga penuh, menyediakan asas kukuh untuk kerajaan mengambil langkah yang lebih tersusun, proaktif dan responsif dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Katanya tekanan bekalan global sedang dipantau secara rapi kerana kesannya tidak semestinya berlaku serta-merta tetapi boleh bergerak secara berperingkat kepada harga barang, kos operasi industri, pekerjaan dan perbelanjaan isi rumah.

“Kerajaan akan terus melaksanakan intervensi yang bersasar supaya rakyat tidak dibiarkan terkesan tanpa sokongan yang sewajarnya, khususnya dalam memastikan bekalan asas mencukupi, harga kekal terkawal dan bantuan sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global di laman Facebook kementerian hari ini.

Akmal Nasrullah berkata pertumbuhan KDNK itu lebih baik berbanding beberapa ekonomi utama dunia yang telah mengumumkan prestasi KDNK suku pertama 2026, termasuk Singapura (4.6 peratus), Filipina (2.8 peratus) dan China (5.0 peratus). 

Katanya harga minyak mentah Brent bergerak dalam julat yang masih tinggi, iaitu antara US$105.62 setong hingga US$112.15 setong.

“Pergerakan ini menggambarkan pasaran yang masih sensitif terhadap risiko geopolitik dan jangkaan permintaan tenaga global, khususnya daripada ekonomi utama Asia,” katanya.  

Beliau berkata setakat ini, kesan kepada pasaran kewangan domestik masih terkawal.

Katanya indeks FBM KLCI ditutup pada paras 1,740.22 mata pada 15 Mei 2026 berbanding 1,748.06 mata pada 8 Mei 2026, iaitu penurunan 7.84 mata atau sekitar 0.4 peratus. 

“Sepanjang tempoh 11 hingga 15 Mei 2026, indeks tersebut bergerak dalam julat kecil antara 1,740.22 mata dan 1,750.56 mata pada penghujung dagangan harian.

“Ini menunjukkan sentimen pelabur masih berhati-hati tetapi tidak berlaku gangguan pasaran yang mendadak,” katanya.

Bagi kos sara hidup, katanya meskipun Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi April 2026 menunjukkan kadar inflasi negara meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.7 peratus pada Mac 2026, kadar inflasi Malaysia masih sederhana dan terkawal berbanding beberapa negara serantau dan ekonomi utama dunia.

Beliau berkata peningkatan inflasi domestik terutama dipengaruhi oleh kumpulan pengangkutan yang meningkat kepada 4.1 peratus pada April 2026 (Mac 2026: 1.6 peratus).

“Faktor utama adalah kenaikan purata harga diesel di Semenanjung Malaysia kepada RM5.92 seliter berbanding RM4.12 pada Mac 2026 serta kenaikan harga RON97 kepada RM5.06 seliter berbanding RM4.03 sebelum ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559014