KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Gold Li Holdings Bhd, syarikat pemaju hartanah yang berpangkalan di Johor, merancang untuk melancarkan projek kediaman bertingkat tinggi pertamanya pada 2027 sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan melangkaui segmen kediaman bertanah tradisionalnya.
Ketua Pegawai Kewangan Tey Bock Heng berkata projek kediaman bertingkat tinggi yang dicadangkan di Muar itu dianggarkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM300 juta.
“Walaupun kami akan terus memberi tumpuan yang besar kepada perniagaan teras iaitu kediaman bertanah kami, kami sebenarnya telah merancang untuk melancarkan projek kediaman bertingkat tinggi pertama kami pada tahun depan.
“Projek ini akan merangkumi 599 unit pangsapuri bertingkat tinggi. Ini menandakan segmen produk baharu di luar portfolio kediaman tradisional kami,” katanya semasa sidang media secara maya selepas majlis penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE.
Tey berkata syarikat memutuskan untuk menceburi segmen kediaman bertingkat tinggi itu selepas menjalankan kajian komprehensif mengenai keadaan pasaran tempatan di Muar.
Beliau berkata segmen itu masih kurang mendapat liputan dan melihatnya sebagai satu peluang untuk mengembangkan jenama berkenaan dengan memperkenalkan pembangunan pangsapuri bertingkat tinggi yang pertama di kawasan berkenaan.
Syarikat itu membuat kemunculan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 12 sen, diskaun sebanyak satu sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 13 sen, dengan 3.09 juta saham diniagakan.
Mengulas mengenai harga pembukaan saham itu, Tey berkata harga pembukaan yang lebih rendah itu mungkin disebabkan oleh keadaan pasaran secara keseluruhan dan ketidaktentuan luaran, namun menyifatkan kesan berkenaan sebagai sementara.
“Kami kekal yakin dari semasa ke semasa, harga saham ini akan mencerminkan nilai asas, nilai teras dan prospek pertumbuhan kumpulan dengan lebih baik.
“Apa yang lebih penting, hasil daripada IPO ini akan memperkukuh kedudukan kami, menyokong rancangan pembangunan masa depan, mengembangkan simpanan tanah kami dan meningkatkan keupayaan kami untuk menjana pertumbuhan yang mampan pada masa hadapan,” katanya.
Mengenai rancangan pengembangan, Tey berkata Gold Li akan menumpukan kepada pembangunan simpanan tanah sedia ada mereka, terutamanya di Muar, Tangkak dan Batu Pahat, di samping menilai peluang strategik yang berpotensi di pasaran-pasaran baharu.
“Kami sangat berminat dengan pengembangan jangka panjang dan kami akan menilai semua peluang perniagaan yang berdaya maju di luar Johor apabila tiba masa yang sesuai,” katanya.
-- BERNAMA