KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Polis sedang menunggu maklumat lanjut bagi melengkapkan siasatan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu dan ia kini dalam perhatian polis untuk tindakan lanjut.
“Perkara itu masih dalam perhatian dan tindakan kita. Sebarang maklumat (isu tersebut) kita masih menunggu daripada pihak berkaitan,” kepada pemberita selepas Majlis Penutupan PDRM Special Dialogue V 2026 di sini hari ini.
Sebelum ini, Nik Muhammad Zawawi didakwa mengeluarkan kenyataan seolah-olah menghina dan mempersendakan kewibawaan beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW dalam ceramah politik di Terengganu.
Susulan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Daie MADANI membuat laporan polis bagi menggesa siasatan terhadap Ahli Parlimen PAS itu.
Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi hari ini memohon maaf dan mengakui dirinya kurang cermat dalam mengolah serta menyampaikan maklumat ketika program berkenaan.
-- BERNAMA