AM

430 Motosikal Honda Model CMX500A, CBR650RAC Dipanggil Semula Bermula 25 Mei

13/05/2026 09:08 PM

PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Boon Siew Honda Sdn Bhd akan memanggil semula 430 unit motosikal Honda model CMX500A dan CBR650RAC bermula 25 Mei ini susulan pengesanan isu teknikal yang berpotensi menjejaskan aspek keselamatan kenderaan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli menerusi satu kenyataan hari ini berkata aktiviti pemanggilan semula tersebut melibatkan model yang dikenal pasti terjejas bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan terhadap komponen berkaitan.

Aktiviti pemanggilan semula melibatkan 160 model CMX500A bagi tahun pengeluaran 2023-2024 iaitu berkaitan kelonggaran skru pengunci pemegang, manakala 270 model CBR650RAC (tahun 2024-2025) iaitu berkaitan litar pintas pada ikatan pendawaian.

“Semua pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak Boon Siew Honda Sdn Bhd bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing. 

“Pemilik kenderaan juga turut dibenarkan hadir secara walk-in ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata sebarang komponen yang dikenal pasti terlibat akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd. 

“Semua pemilik kenderaan model yang terlibat adalah dimohon untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya. 

Aedy Fadly berkata pihaknya akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula ini dan komited untuk memastikan semua unit kenderaan yang terlibat akan menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat untuk digunakan di jalan raya.

Berhubung proses pemanggilan semula ini, pemilik kenderaan boleh ke mana-mana pusat jualan/perkhidmatan Boon Siew Honda Sdn Bhd yang berdekatan atau menghubungi maklumat tertera :

 

Boon Siew Honda Sdn Bhd

Hotline : 04-506 3333

Hubungi : 03-6144 0963

Emel : enquiry@bswhonda.com.my

Layari : https://boonsiewhonda.com.my

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556605