AM

Lapan Kanak-kanak Diselamatkan Dalam Kejadian Kepala Air Di Cameron Highlands

13/05/2026 09:34 PM

KUANTAN, 13 Mei (Bernama) -- Lapan kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas berdepan detik cemas terperangkap dalam kejadian kepala air di Sungai Mensun, di Kampung Orang Asli Terisu, Cameron Highlands hari ini. 

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian melibatkan lapan kanak-kanak lelaki berusia lingkungan empat hingga 12 tahun itu pada 5.10 petang tadi.

Beliau berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands telah bergegas ke lokasi kejadian dan tiba di sungai berkenaan setengah jam kemudian. 

“Sejurus tiba di lokasi, bomba memulakan operasi dengan menggunakan tali untuk menyeberangi sungai bagi menyelamatkan kesemua mangsa yang berada di atas batu ke kawasan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa berjaya diselamatkan pada 7.58 malam dan diserahkan kepada polis serta keluarga masing-masing. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556619