AM

PM Terima Kunjungan Hormat Sarjana Antarabangsa Prof Vali Nasr

13/05/2026 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada sarjana antarabangsa Profesor Seyyed Vali Reza Nasr di Perdana Putra, Putrajaya.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata Vali Reza yang juga seorang penulis dan pakar hubungan antarabangsa terkenal dalam bidang politik Asia Barat serta pengajian Islam berada di negara ini atas undangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau berkata pertemuan itu dimanfaatkan untuk bertukar-tukar pandangan berhubung perkembangan konflik Amerika Syarikat-Iran termasuk implikasinya terhadap kestabilan geopolitik dunia, keselamatan serantau dan krisis bekalan tenaga global yang dihadapi ketika ini.

“Moga segala ikhtiar dan usaha diplomasi yang digerakkan masyarakat antarabangsa dapat membantu meredakan ketegangan, seterusnya menjamin keamanan, kestabilan dan kesejahteraan sejagat,” katanya.

Vali Reza ialah Profesor Majid Khadduri bagi Pengajian Asia Barat dan Hal Ehwal Antarabangsa di Fakulti Pengajian Antarabangsa Lanjutan (SAIS) Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat.

-- BERNAMA 



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556612