EKONOMI

Pulau Pinang Perlu Rangka Pelan Induk Sisa Hijau, E-Sisa Teknologi Tinggi - Reezal Merican

13/05/2026 04:49 PM

GEORGE TOWN, 13 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang berpotensi besar untuk mengubah sisa menjadi kekayaan baharu dengan menarik pelaburan luar negara berasaskan teknologi tinggi sebagai pemacu ekonomi baharu negeri.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Bertam) berkata sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri untuk merangka Pelan Induk Sisa Hijau dan E-Sisa Berteknologi Tinggi yang komprehensif.

“Industri kitar semula e-sisa mempunyai potensi tinggi kerana melibatkan pemprosesan logam bernilai seperti nikel, litium dan kobalt.

“Malah, tujuh daripada 17 syarikat berlesen di Malaysia sudah beroperasi di Pulau Pinang dan ini adalah kelebihan yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya ketika membahaskan usul terima kasih atas ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut menekankan kepentingan projek Waste-to-Energy (WTE) yang boleh menyelesaikan masalah sisa pepejal sambil menjana tenaga.

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaannya memerlukan perancangan teliti dan sokongan penuh daripada Ketua Menteri Chow Kon Yeow serta kepimpinan tertinggi negeri.

Reezal Merican berkata ini bukan sekadar isu alam sekitar, sebaliknya peluang ekonomi besar yang tidak boleh dilepaskan.

Menurutnya sehubungan itu kerajaan negeri perlu bertindak segera sebelum Pulau Pinang ketinggalan dalam ekonomi hijau dan ekonomi kitaran.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan kerajaan negeri menyediakan insentif satu kali sebanyak RM500 kepada setiap pesawah bagi membantu mereka menghadapi kenaikan harga input pertanian yang melambung tinggi baru-baru ini.

Beliau berkata cadangan itu dikemukakan bagi meringankan beban pesawah yang terkesan akibat kos baja, racun perosak dan input pertanian lain yang semakin meningkat.

“Kerajaan negeri boleh mempertimbang pemberian insentif secara sekali beri sebanyak RM500 kepada pesawah untuk membantu mereka pada masa ini. Ini adalah antara langkah sokongan langsung yang boleh dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata sektor pertanian khususnya tanaman padi perlu terus diberikan perhatian oleh kerajaan negeri memandangkan kepentingannya dari segi jaminan bekalan makanan negara.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556457