AM

Dialog Khas V: PDRM Perkukuh Keselamatan Negara, Depani Ancaman Siber Dan Sisa Elektronik

12/05/2026 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkasa kesiapsiagaan keselamatan negara menerusi penganjuran Dialog Khas V PDRM (PSD V) 2026 selama dua hari bermula hari ini, dalam usaha menangani evolusi ancaman jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks dan dinamik.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata platform dialog bertaraf antarabangsa itu adalah langkah progresif pasukan untuk menghimpunkan pakar teknologi, penggubal dasar dan agensi penguatkuasaan bagi merangka strategi berkesan terhadap ancaman keselamatan kontemporari.

Beliau berkata fokus utama edisi kali ini merangkumi isu kritikal seperti penipuan dalam talian, jenayah siber, sindiket narkotik serta aktiviti haram sisa elektronik yang kini menjadi ancaman serius kepada ekonomi dan alam sekitar negara.

“Pada 2025 sahaja, kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia mencecah RM2.7 bilion. PDRM turut membongkar lebih 110 lokasi sisa elektronik haram menerusi Ops Hazard 3.0 dengan nilai rampasan melebihi RM582 juta.

“Hal ini membuktikan bahawa bentuk ancaman masa kini memerlukan pendekatan yang lebih teknikal dan kolaboratif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dialog Khas V PDRM 2026 yang diterajui Jabatan Pengurusan PDRM dengan kerjasama strategik Alpine Integrated Solution Sdn Bhd itu menyaksikan penyertaan lebih 3,000 peserta, termasuk 200 delegasi VIP dan 135 syarikat teknologi daripada 17 negara.

Program itu turut melibatkan pelbagai jabatan teras PDRM termasuk Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Mohd Khalid turut menekankan bahawa dialog itu menjadi pemangkin utama ke arah penganjuran Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2027 (AISSE’27) yang dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada Januari tahun depan.

“Penganjuran ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi PDRM untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara menerusi integrasi teknologi generasi baharu seperti kecerdasan buatan dalam pengurusan sempadan dan pemantauan keselamatan digital,” katanya.

Antara topik utama yang dibahaskan sepanjang program itu, termasuklah ancaman kejuruteraan sosial, penipuan kripto, pemerdagangan manusia era digital serta eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556076