AM

Projek Air Strategik Pulau Pinang Diteruskan Walau Kos Meningkat - Chow

11/05/2026 01:05 PM

GEORGE TOWN, 11 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang meneruskan projek strategik bekalan air di bawah Pelan Kontigensi Air 2030 walaupun berdepan peningkatan kos operasi dan pembinaan susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek -projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu penting bagi memastikan kestabilan bekalan air negeri dan tidak boleh ditangguhkan.

"Ketika ini projek berkenaan berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan termasuk pembinaan, perkhidmatan perundingan dan pengambilan tanah.

"Semua projek di bawah Pelan Kontigensi Air 2030 akan diteruskan dan kita sudah pun memperoleh pinjaman sukuk untuk membiayai projek-projek berkenaan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lee Boon Heng (PH-Kebun Bunga) mengenai kos operasi PBAPP susulan krisis bekalan global. 

Chow berkata Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah mengambil langkah menangguhkan beberapa projek selama sekurang-kurangnya enam bulan bagi memberi ruang kepada kontraktor mendapatkan kepastian mengenai peningkatan kos semasa.

Beliau memaklumkan PDC juga secara dasar bersetuju untuk berkongsi peningkatan kos projek dengan kontraktor menerusi mekanisme perkongsian kos operasi.

Beliau turut mengakui kerajaan negeri menerima kesan daripada peningkatan kos operasi termasuk kenaikan harga diesel yang memberi tekanan kepada pihak berkuasa tempatan dengan anggaran awal menunjukkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dijangka menanggung tambahan RM5 juta kos operasi.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555458