PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Negara Asia Tenggara mempunyai kepentingan langsung dalam memastikan kestabilan di Asia Barat memandangkan sebarang peningkatan konflik bakal memberikan implikasi serius terhadap ekonomi serantau dan perdagangan global, kata ahli akademik Amerika Syarikat (AS) berketurunan Iran Prof Seyyed Vali R. Nasr.
Nasr, yang juga Profesor Majid Khadduri bagi Pengajian Timur Tengah dan Hal Ehwal Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa Lanjutan Johns Hopkins, berkata negara di rantau ini, termasuk Malaysia, tidak boleh mengasingkan diri daripada ketidakstabilan di Teluk Parsi, khususnya melibatkan laluan perdagangan maritim penting.
"Kepentingan Asia Tenggara adalah tiada perang di Teluk Parsi. Tiada peperangan di Bab el-Mandeb dan Laut Merah adalah demi kepentingan Asia, dan ia tetap terbuka," katanya pada syarahan umum yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, di sini hari ini.
Bercakap mengenai topik “Civilisation Under Strain: Knowledge, Ethics, and Leadership in a Time of Global Conflict” (Tamadun Di Bawah Tekanan: Pengetahuan, Etika dan Kepimpinan ketika Konflik Global), Nasr berkata ketidakstabilan ekonomi akibat ketegangan yang dikaitkan dengan konflik Iran-Israel telah menjejaskan wilayah yang jauh dari Asia Barat, termasuk Asia, Afrika dan Amerika Latin.
Beliau juga memberi amaran bahawa gencatan senjata semasa masih rapuh dan boleh terbubar jika usaha diplomatik gagal dilanjutkan.
Nasr menegaskan kestabilan masa depan di rantau itu akan memerlukan proses meredakan ketegangan dan mewujudkan keharmonian antara kuasa yang berperang, termasuk Iran dan Israel.
"Anda tidak boleh memaksa Iran dan Israel untuk berdamai esok. Mungkin dalam tempoh 10 tahun, namun anda boleh fikirkan cara untuk beransur-ansur memasuki situasi hidup bertoleransi (live-and-let-live) iaitu tiada peperangan aktif berlaku,” katanya.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas perkongsian itu, Nasr berkata hubungan yang lama terjalin antara Malaysia dan Iran dijangka berterusan walaupun ketegangan berterusan di rantau berkenaan.
"Malaysia bukan pihak yang terlibat dalam konflik itu, namun, ia jelas terkesan dengannya.
"Tetapi saya fikir selaras peredaran masa, Iran akan melihat kepada semua rakan dan negara yang mempunyai hubungan dengannya bagi mencari penyelesaian..." katanya.
Mengulas mengenai syarahan itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kehadiran Nasr di negara ini membolehkan kerajaan memperoleh pemahaman lebih jelas dan objektif mengenai konflik yang sedang berlaku membabitkan Iran, Israel dan AS.
Beliau berkata Nasr mencabar pandangan tidak tepat tentang dunia Islam dan menggalakkan pemahaman lebih mendalam berhubung realiti geopolitik kompleks di tengah-tengah ketidaktentuan global, peperangan dan persaingan geopolitik yang kian meruncing.
"Ketika wacana awam sering disempitkan kepada slogan dan binari, karya beliau mengingatkan kita bahawa sejarah, identiti, nasionalisme, agama dan kuasa ialah realiti yang saling berkaitan yang memerlukan kejujuran intelektual serta pemahaman strategik," katanya.
-- BERNAMA