MELAKA, 28 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka mengenakan syarat kepada pemaju perumahan di negeri itu iaitu menyediakan tanah perkuburan seluas 1 hektar jika sesebuah taman perumahan itu dihuni lebih 5,000 penduduk.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata bagi taman perumahan dihuni bawah 5,000 penduduk pula, pemaju diwajibkan membuat caruman kepada Tabung Kubur Melaka yang menguruskan Tabung Amanah Perkuburan Islam Berpusat Melaka dan Tabung Amanah Perkuburan Selain Islam Melaka, pada kadar RM1,030 bagi setiap unit pembangunan.
“Langkah ini merupakan inisiatif strategik bagi memastikan penyediaan tapak perkuburan mencukupi, terancang dan mampan selaras dengan keperluan semasa serta pembangunan pesat negeri,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) yang mahu tahu langkah diambil kerajaan negeri dalam menyelesaikan tanah perkbuburan yang semakin tidak mencukupi di Melaka.
Rais berkata caruman tabung amanah itu, yang akan menguruskan tanah perkuburan Islam dan bukan Islam, akan digunakan bagi pengwujudan tapak perkuburan baharu, kos pengambilan balik tanah, pampasan atau ganti rugi serta kos bagi kerja pembinaan dan menaik taraf infrastruktur melibatkan kawasan perkuburan.
Beliau berkata caruman Tabung Kubur Melaka adalah sebanyak RM1.274 juta sejak 2025 hingga Mac lepas, membabitkan RM979,324 bagi Tabung Amanah Perkuburan Islam Berpusat Melaka dan RM294,786 bagi Tabung Amanah Perkuburan Selain Islam Melaka.
“Langkah ini adalah selaras dengan Rancangan Struktur Melaka 2035 di bawah Teras 3: Melaka Sejahtera dan Inklusif, yang menekankan penyediaan kemudahan agama dan kawasan perkuburan terancang serta mencukupi selaras dengan pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat masa kini dan generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA