AM

Penternak Ikan Di Laguna Setiu Rugi Hampir RM70,000 Akibat Fenomena Air Mati

28/04/2026 05:09 PM

BANDAR PERMAISURI, 28 April (Bernama) -- Tiga penternak ikan sangkar di Laguna Setiu, Kampung Gong Batu dekat sini terpaksa menanggung kerugian keseluruhan lebih RM67,000 selepas ternakan mereka mati akibat kekurangan oksigen susulan fenomena air mati. 

Mat Sim Omar, 52, berkata dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM46,200 apabila kira-kira 2.1 tan metrik ikan siakap dan kerapu hibrid yang diternaknya di dalam 25 petak sangkar didapati mati, manakala dua lagi rakannya Mohd Fendi Tahar, 37, dan  Mohd Nazemi Nawi, 48, turut mengalami kerugian akibat kejadian yang sama.

“Saya menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada kira-kira 8 pagi semalam, ketika hendak memberikan ikan makan. Saya dapati sebahagian ikan siakap dan kerapu hibrid dalam 25  petak sangkar ternakan tercungap-cungap dipercayai kekurangan oksigen selepas berlaku fenomena air mati (air tidak bergerak) bermula 4 pagi semalam. 

“Saya terus hidupkan enjin angin (blower) untuk tingkatkan kadar oksigen dalam sangkar, namun pada 1 petang semalam, saya dapati banyak ikan yang mati  terapung di permukaan air,” katanya ketika ditemui di kawasan penternakan ikan sangkar di Kampung Gong Batu, di sini hari ini. 

Mat Sim berkata kerugian itu adalah yang terburuk pernah dialaminya sejak menternak ikan lebih 20 tahun lepas, apatah lagi kebanyakan ikan yang seberat 300 gram hingga 1.2 kilogram (kg) seekor itu hanya menunggu masa untuk dijual. 

Sementara itu, Mohd Fendi berkata dia mengalami kerugian kira-kira RM11,900 apabila 500 kg ikan siakap merah dan siakap putih ternakannya mati semalam. 

“Lazimnya fenomena air mati ini berlaku sebanyak dua hingga tiga kali setahun, namun kali ini saya dan penternak terlibat tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya yang menyatakan fenomena air mati atau air laut tidak bergerak untuk tempoh tertentu telah menyebabkan kandungan oksigen dalam air rendah. 

Mohd Nazemi pula berkata dia kerugian RM9,200 apabila kira-kira 2,300 ekor ikan tilapia merah yang diternaknya mati semalam.

Beliau berkata petugas Pejabat Perikanan Daerah telah datang ke sangkar ikan mereka untuk menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Datuk Dr Azman Ibrahim ketika dihubungi berkata kerajaan negeri menyediakan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu bagi membantu golongan yang terjejas dalam situasi seumpama itu. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550431