Oleh Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 28 April (Bernama) -- Di sebalik keterujaan berkongsi momen di Tanah Suci, jemaah haji diingatkan agar tidak terleka dengan media sosial sehingga mengabaikan tujuan utama ibadah.
Pengarah Operasi Bimbingan Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Shahrin Awaluddin berkata trend itu, khususnya dalam kalangan jemaah muda, boleh menjejaskan kekhusyukan dan kesempurnaan ibadah haji.
“Apabila kita berada di Tanah Suci sama ada di Makkah atau Madinah, kita perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada pelaksanaan ibadah secara menyeluruh, bukan dilakukan secara sambil lewa.
“Haji ini bukan sekadar perjalanan, tetapi ibadah yang menuntut fokus sepenuhnya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata penggunaan media sosial tidak dilarang, namun sikap berlebihan boleh menyebabkan jemaah terlepas detik penting ibadah seperti tawaf, sa’i dan wukuf di Arafah.
“Ketika di Arafah, itu adalah saat paling mustajab. Kalau kita masih sibuk dengan telefon, kita sebenarnya rugi,” katanya.
Sementara itu, Shahrin memberi jaminan TH sentiasa memantau kebajikan jemaah Malaysia secara menyeluruh sepanjang berada di Tanah Suci.
Beliau berkata pelbagai kemudahan disediakan termasuk penginapan, pengangkutan, rawatan kesihatan serta bimbingan bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.
“Jika jemaah sakit atau menghadapi kesukaran, petugas kita akan membantu supaya ibadah mereka tetap dapat dilaksanakan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan ahli keluarga di tanah air agar tidak bimbang kerana setiap jemaah sentiasa dipantau dari segi kebajikan, kesihatan dan ibadah.
Operasi Haji 1447H/2026M bermula secara rasmi pada 18 April lepas, melibatkan 31,600 jemaah haji Malaysia yang berlepas secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi penerbangan sewa khas AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.
-- BERNAMA