AM

Petugas TH Jadi "Nadi Senyap" Perjalanan 440 Km Jemaah Haji

27/04/2026 10:18 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 27 April (Bernama) -- Menempuh perjalanan sejauh kira-kira 440 kilometer (km) antara Makkah dengan Madinah menuntut kesiapsiagaan petugas Tabung Haji (TH) dekat sini bagi memastikan keselesaan jemaah.

Perjalanan yang mengambil masa kira-kira lapan jam dari Madinah ke Makkah melalui kawasan padang pasir dan bukit berbatu itu turut memerlukan penelitian rapi daripada petugas dalam segenap aspek termasuk kemudahan untuk jemaah.

Di laluan berkenaan, terdapat sebuah hentian rehat, iaitu Al Hijrah R&R Wadi Starah yang berfungsi sebagai pusat sokongan utama kepada pergerakan bas jemaah.

Pengurus Pusat Panggilan Kecemasan Lebuhraya (PPKL) TH Mohd Azir Shahril Ahmad bersama-sama pasukannya memainkan peranan sebagai "nadi senyap" di lokasi tersebut bagi memastikan perjalanan jemaah berjalan dengan lancar.

Beliau berkata pasukannya yang terdiri daripada lima petugas TH itu bukan sahaja memantau pergerakan bas, tetapi juga menyelaras maklumat antara dua kota suci serta menjadi rujukan utama sekiranya berlaku kecemasan.

“Peranan kita adalah untuk memastikan setiap pergerakan bas dipantau dan sebarang isu dapat ditangani segera. Kedudukan hentian ini, kira-kira 200 km dari Makkah dan 240 km dari Madinah, menjadikannya lokasi kritikal dalam sistem pergerakan jemaah,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Azir Shahril berkata cabaran utama yang dihadapi bukan sahaja melibatkan aspek operasi, tetapi juga faktor persekitaran termasuk cuaca panas dan ribut pasir selain logistik.

“Kadang-kadang sukar untuk mengesan lokasi sebenar bas ketika kecemasan, terutamanya apabila banyak kenderaan tiba serentak.

“Ribut pasir boleh menjejaskan jarak penglihatan dan mengganggu perjalanan. Dalam situasi itu, kita perlu sentiasa bersedia dan bertindak pantas,” katanya.

Bagi memastikan kesiapsiagaan, Mohd Azir Shahril berkata beliau akan tiba lebih awal di lokasi bagi menilai keadaan fasiliti serta melakukan penyelarasan sebelum ketibaan jemaah, dan dalam masa sama memastikan kemudahan asas seperti tandas, surau dan kedai makan berada dalam keadaan baik demi keselesaan jemaah.

Walaupun bertugas di kawasan terpencil dengan kemudahan terhad, beliau menegaskan bahawa kebajikan jemaah tetap menjadi keutamaan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549865