AM

SMC Sunway City Anjur Karnival Kesihatan Promosi Kesejahteraan Komuniti

28/04/2026 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway (SMC) berjaya menganjurkan Karnival Gaya Hidup Sihat SunMed 2026, yang menyaksikan lebih daripada 4,000 peserta hadir sebagai langkah proaktif ke arah meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka secara keseluruhan. 

SMC dalam kenyataan memaklumkan, karnival itu menawarkan suasana yang meriah dan pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan informatif seperti bola sepak, refleks pantas, pickleball, serta latihan keseimbangan, selain menyediakan stesen khas bagi kesedaran kesihatan pendengaran dan kanser.

“Karnival ini turut menampilkan Healthy Living Marketplace yang menghimpunkan pelbagai jenama kesihatan, pemakanan, kecergasan dan gaya hidup, mencerminkan komitmen hospital terhadap kesejahteraan holistik dalam komuniti,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat SMC Tan Mei Shin berkata acara itu bukan sahaja menonjolkan komitmen berterusan pihaknya terhadap kecemerlangan penjagaan kesihatan, malah menghimpunkan masyarakat untuk mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan dalam suasana positif dan menyokong.

“Sungguh memberikan inspirasi apabila melihat setiap individu saling menjaga diri sendiri dan satu sama lain, bersatu oleh matlamat bersama ke arah kesihatan dan kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Karnival itu turut menyediakan pelbagai saringan kesihatan percuma, yang dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan SMC, termasuk analisis komposisi badan, penilaian kesakitan, tekanan darah postural, saringan memori dan lain-lain.

Kejayaan penganjuran karnival itu juga disokong oleh penaja dan rakan kerjasama, termasuk BLACKMORES, Herbaland, Anytime Fitness, Sunway Lagoon, Gintell, Julie’s, dan banyak lagi.

“Kerjasama itu mencerminkan usaha bersama dalam mempertingkatkan kesihatan komuniti serta membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi pada masa hadapan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

SMC ialah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, dengan 28 Pusat Kecemerlangan serta lebih 300 perunding perubatan tetap merentasi 80 kepakaran perubatan.

Baru-baru ini, SMC telah disenaraikan sebagai hospital No.1 di Malaysia dalam Hospital Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek bagi tahun kedua berturut-turut, dan No. 1 di Malaysia dalam Hospital Pintar Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek.

SMC turut merangkul anugerah Hospital Terbaik - Malaysia dan Inisiatif Hospital Pintar Terbaik - Malaysia di Healthcare Asia Awards 2026, sekali gus mengukuhkan lagi kecemerlangan berterusan hospital dalam keselamatan pesakit dan penjagaan berpusatkan pesakit.

Selain itu, SMC juga ialah hospital pertama di Malaysia yang diiktiraf dengan tiga akreditasi hospital utama, termasuk Akreditasi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat; Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) Antarabangsa; dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550439