Oleh Erma Idayu Mohd Yusof
GEORGE TOWN, 28 April (Bernama) -- Industri perfileman tempatan bakal menerima suntikan segar menerusi “Mamu The Movie”, naskah yang tidak hanya bertujuan menghiburkan, tetapi juga sarat dengan emosi, komedi, aksi serta nilai kekeluargaan yang dekat di hati rakyat Malaysia.
Diterbitkan oleh Emilia Nasser, filem itu diinspirasikan daripada kehidupan masyarakat setempat, khususnya komuniti anak jati Pulau Pinang yang menggunakan panggilan “mamu” sebagai simbol hubungan rapat, persaudaraan dan peranan seorang lelaki dalam institusi keluarga.
Menurut Emilia filem itu menghimpunkan barisan pelakon popular seperti Saiful Apek, Wan Raja, Zairi Aziz, Priscilla Nair, Didie Alias, Diana Danielle, Shahidan Izwan, Yassin, Bell Ngasri, Adam Corrie, Risteena, Wafa Reina, selain bakat baharu termasuk pencipta kandungan digital dari Pulau Pinang khususnya TikTok.
"Filem ini akan membawa penonton menyelami makna ‘mamu’ itu sendiri, iaitu seorang bapa, abang atau figura lelaki yang memainkan peranan penting dalam institusi keluarga dan masyarakat.
"Kehadiran barisan pelakon itu juga pastinya memberi kekuatan besar kepada jalan cerita dan mampu menarik perhatian penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya kepada Bernama selepas Majlis Bacaan Skrip dan Doa Selamat Mamu The Movie, di sini.
pic-2
Filem yang akan diarahkan oleh Zulkifli Abu Hassan itu dijadual memulakan penggambaran pada 29 Mei ini di sekitar Pulau Pinang dan dijangka mengambil masa lebih sebulan untuk disiapkan.
Menurut Zulkifli, filen itu akan mengetengahkan gabungan elemen sinematik ala Bollywood, Tamil dan Telugu, disulami babak romantik berunsur muzik serta visual berwarna-warni, namun masih mengekalkan identiti tempatan.
Selain itu, beliau berkata filem itu turut meraikan kepelbagaian budaya dengan menampilkan pelakon daripada pelbagai kaum dalam satu naratif yang harmoni termasuk watak heroin daripada kaum India, sebagai refleksi realiti masyarakat majmuk negara.
"Kita juga mahu buka ruang dan tunjukkan bahawa industri kita boleh bergerak lebih jauh dengan kepelbagaian bakat dan budaya. Lebih menarik, dapat dikatakan lebih separuh pelakon juga adalah anak-anak jati Pulau Pinang," katanya.
Keindahan Pulau Pinang turut menjadi “watak” penting apabila lebih 30 lokasi menarik di negeri itu akan dipaparkan, sekali gus menonjolkan gabungan elemen tradisional dan pembangunan moden.
pic-3
Dari sudut penceritaan, filem ini yang menampilkan Saiful Apek sebagai peneraju utama, memfokuskan pada hubungan bapa dan anak dengan menyentuh soal pengorbanan, konflik emosi serta cabaran kehidupan berkeluarga.
Sementara itu, Saiful Apek, atau nama sebenar Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 57, optimis filem terbaharunya tersebut mampu mencuri perhatian penonton menerusi pendekatan penceritaan yang berbeza dan di luar jangkaan.
Menyifatkan peranan yang bakal dimainkannya, iaitu Mamu Tajuddin sebagai sesuatu di luar kebiasaannya selaku pelakon dan pelawak, Saiful berkata watak tersebut sarat emosi dan mencabar.
Beliau juga berpendapat kekuatan naskhah tersebut bukan sahaja terletak pada jalan cerita, malah turut diperkukuh dengan aspek teknikal seperti sinematografi dan proses pembikinan.
“...jika apa yang dirancang itu menjadi kenyataan di layar, saya percaya filem ini mampu memberi sesuatu yang segar kepada penonton,” katanya.
Filem dengan anggaran kos penerbitan hampir RM2 juta itu disasarkan meraih kutipan antara RM10 juta hingga RM15 juta apabila ditayangkan di pawagam pada penghujung tahun ini, selain menembusi pasaran antarabangsa, termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia.
-- BERNAMA