Oleh Nur Faradilla Mohamad
ISKANDAR PUTERI, 6 Mac (Bernama) -- Bermula dengan menonton video perlumbaan Formula Satu (F1) di media sosial sebagai mengisi masa terluang ketika kemuncak penularan pandemik COVID-19, kini anak muda ini bergelar pelumba sukan permotoran negara.
Didedahkan kepada sukan itu oleh abangnya sejak dia masih kecil, N Rahul Dev, 22, berkata minatnya terhadap F1 bertambah selepas menghabiskan sebahagian besar masa menonton video perlumbaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020.
pic-2
“Dari situ timbul minat saya untuk meneroka lebih jauh dalam bidang ini yang seterusnya membawa saya mencuba simulator F1 di sebuah pusat e-sukan, dan pengalaman itu membakar semangat saya untuk menjadikan bidang ini sebagai kerjaya,” katanya ketika ditemui di Akademi Axle, di sini baru-baru ini.
Bakat penuntut Kolej Antarabangsa INTI, Subang, Selangor itu terserlah semasa dia menyertai kejohanan pentas alam maya simulator e-sukan Toyota Gazzo Racing (TGR) GT Cup (Campus Tour Race) yang berlangsung pada Ogos 2023.
Di situ, dia bertemu dengan bekas pelumba F1 negara dan kini jurulatih skuad e-Racing kebangsaan Alex Yoong yang menggalakkannya untuk berlumba di litar sebenar.
pic-3
“Beliau idola saya, dan atas dorongan beliau jugalah yang membawa saya ke pentas perlumbaan sebenar,” katanya yang memulakan langkah dalam sukan permotoran dengan menyertai program TGR Rookie 2025.
Rahul Dev tidak mensia-siakan peluang itu apabila dia muncul juara kelas TGR Rookie Toyota Gazoo Racing Malaysia 2025 yang menutup musim dengan perlumbaan terakhir di Litar Antarabangsa Sepang pada Januari lepas.
pic-4
Mengulas lanjut, anak jati Johor ini berkata latihan menggunakan simulator banyak membantunya dalam memahami teknik perlumbaan.
“Malah, kira-kira 80 ke 90 peratus daripada kemahiran yang diraih daripada simulator boleh dipindahkan ke perlumbaan sebenar,” jelasnya.
Dia yang berehat seketika daripada pengajian di bawah program “American Degree Transfer Programme (Biotechnology)” sejak Julai 2024, merancang untuk kembali fokus pada pelajaran bermula pertengahan tahun ini.
-- BERNAMA