AM

Pembangunan Perumahan Di Parlimen Lembah Pantai Sentiasa Diutamakan - Fahmi

07/03/2026 10:28 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Pembangunan perumahan di kawasan Parlimen Lembah Pantai sentiasa diberi keutamaan bagi membantu penduduk menikmati kehidupan yang lebih selesa, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata sebagai contoh, pembangunan semula Perumahan Awam Seri Pahang yang mempunyai 777 unit kediaman akan digantikan dengan Residensi Maarof yang menawarkan 843 unit rumah yang lebih besar, selesa serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

“Bagaimanapun, perbincangan sedang dilakukan dengan Datuk Bandar bagi menyelesaikan beberapa perkara termasuk kos setem yang terlalu tinggi dengan mendapatkan kerjasama Kementerian Kewangan,” katanya selepas Majlis Iftar Perdana Parlimen Lembah Pantai di IWK Eco Park Pantai Dalam di sini, hari ini.

Fahmi berkata proses pemindahan penyewa Perumahan Awam Seri Pahang ke Residensi Maarof dijangka dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun ini atau selewat-lewatnya pada suku keempat.

Selain itu, sebuah sekolah rendah baharu yang dilengkapi 36 bilik darjah bakal dibina di Parlimen Lembah Pantai bagi memenuhi keperluan pendidikan penduduk setempat.

Beliau berkata sekolah itu akan dibina di tapak lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai yang dijangka dirobohkan pada Mei atau Jun ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan baucar bernilai RM150 kepada 1,200 penerima bagi membantu golongan kurang berkemampuan membuat persiapan menyambut hari raya.

Beliau berkata selepas Aidilfitri, kempen kesihatan akan digerakkan di Parlimen Lembah Pantai melalui klinik kesihatan bergerak yang bukan sahaja menyediakan saringan kesihatan, malah menyebarluaskan maklumat mengenai program dan perkhidmatan kerajaan bersama dengan agensi lain.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531629