AM

Warga Emas Terperangkap Dua Hari Dalam Perigi Sebelum Diselamatkan

07/03/2026 10:25 PM

BUTTERWORTH, 7 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas nyaris maut selepas terjatuh ke dalam perigi di Jalan Telok Air Tawar di sini sejak dua hari lepas sebelum berjaya diselamatkan orang awam yang menyedari terdapat mangsa di dalam perigi itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata mangsa berusia 63 tahun dipercayai terjatuh ke dalam perigi dengan anggaran kedalaman lima meter.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu pada 5.29 petang tadi dan mendapati mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di tempat kejadian.

"Mangsa mengalami kecederaan ringan dan keletihan akibat berada dalam perigi selama dua hari. Dia telah diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata warga emas itu merupakan gelandangan serta dipercayai hendak mandi sebelum terjatuh ke dalam perigi tersebut, namun bernasib baik kerana ketika itu air hanya di paras dada.

Dalam perkembangan berasingan, John berkata bomba sedang giat memadam kebakaran hutan melibatkan kawasan bukit seluas 12,141 meter persegi di belakang Surin Residence, Solok Tanjung Bungah, George Town. 

Beliau berkata panggilan kecemasan diterima pada 3.59 petang tadi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal ke lokasi kebakaran yang terletak kira-kira dua kilometer dari kaki bukit.

“Lokasi kebakaran tidak ada laluan kenderaan, jadi pihak bomba terpaksa mendaki ke kawasan tersebut dengan membawa peralatan pemadaman," katanya. 

Beliau memaklumkan tiada mangsa dilaporkan terlibat dan hingga 7.12 malam tadi api berjaya dikawal, namun usaha  pemadaman masih diteruskan dengan unit dron bomba turut bersiap sedia bagi membantu pemantauan dari udara sekiranya diperlukan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531627