Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Setiap kali Ramadan, Masjid Wilayah Persekutuan akan bergema dengan alunan syahdu ayat-ayat suci al-Quran daripada seorang imam jemputan khas dari Mesir yang sudah lebih dua dekad berkhidmat di Malaysia.
Sheikh Abdelrahman Eldesouky, 62, bukan satu nama asing bagi kariah di beberapa masjid utama di ibu negara, khususnya mereka yang setia mengikuti solat tarawih sepanjang Ramadan dengan bacaan panjang "satu juzuk satu malam".
Keistimewaan Sheikh Abdelrahman bukan hanya pada kemerduan suaranya, tetapi juga kepakaran beliau dalam pelbagai kaedah bacaan (qiraat) termasuk Hafs 'an 'Asim, selain keupayaan mengimamkan solat tarawih dalam tempoh yang panjang.
Mengimbau perjalanan dakwahnya, beliau mula mengimamkan solat sekitar 1990 selepas dilantik sebagai guru al-Quran oleh institusi tersohor Mesir, Al-Azhar Al-Sharif, sebelum menjejakkan kaki di Malaysia buat kali pertama pada 2005 sebagai wakil rasmi institusi tersebut.
pic-2
Beliau berkata tugas pertamanya di Malaysia bermula di Terengganu apabila berkhidmat di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, selain diberi kepercayaan mengimamkan solat di Masjid Terapung (Masjid Tengku Tengah Zaharah) serta Masjid Abidin di negeri itu.
“Bekas Imam Besar Masjid Negara Allahyarham Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad yang berasal dari Terengganu pernah menunaikan solat bersama-sama saya. Beliaulah yang kemudian mencadangkan nama saya untuk mengimamkan solat di Masjid Negara sekitar 2010.
“Selepas itu saya mula mengimamkan solat di beberapa masjid di sekitar Kuala Lumpur sebelum berkhidmat sebagai imam tarawih di Masjid Wilayah Persekutuan sejak 2018 hingga kini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
pic-3
Bercerita lanjut, bapa kepada empat cahaya mata itu berkata antara faktor utama yang mendorongnya terus menerima jemputan ke Malaysia ialah sikap jemaah tempatan yang sangat menghargai dan tekun mendengar bacaan al-Quran yang panjang.
“Apa yang membuatkan saya tenang di sini ialah melihat jemaah di belakang saya bersabar dengan bacaan yang panjang. Walaupun ada dalam kalangan mereka yang mungkin tidak sihat atau tidak kuat secara fizikal untuk berdiri lama, mereka tetap bertahan demi menghayati al-Quran dan solat malam.
“Selain itu, hubungan yang terjalin dengan jemaah di Malaysia juga semakin akrab sehingga ada antara mereka yang datang menziarahi saya di Tanta, Mesir seolah-olah wujud pertalian keluarga antara kami,” katanya.
Menyentuh keunikan Ramadan di Malaysia, Sheikh Abdelrahman menyifatkan budaya berbuka puasa secara berjemaah di masjid sebelum menunaikan solat tarawih sebagai satu tradisi indah yang jarang ditemukan di tempat lain.
pic-4
“Suasana seperti itu sangat baik kerana menghimpunkan ramai orang dalam satu majlis. Apabila mereka duduk bersama-sama berbuka puasa dan kemudian menunaikan solat tarawih berjemaah, situasi itu mewujudkan suasana Ramadan yang indah serta penuh dengan keberkatan,” katanya.
Beliau juga gembira kerana bacaan solat tarawihnya disiarkan melalui radio setiap malam ke seluruh negara sekali gus membolehkan orang ramai turut mendengar alunan kitab suci itu walaupun tidak berada di masjid.
Selepas lebih 20 tahun berulang-alik antara Kaherah dan Kuala Lumpur, Sheikh Abdelrahman kini menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya kerana sudah serasi dengan budaya, makanan serta keramahan penduduk tempatan.
pic-5
“Saya sudah biasa dengan masyarakat di sini, tahu budaya mereka dan juga makanan mereka. Jadi saya berasa selesa berada di Malaysia dan menunaikan solat tarawih bersama-sama mereka,” katanya yang memahami bahasa Melayu dan dapat bertutur secara terhad.
Mengakhiri perbualan, Sheikh Abdelrahman berharap usaha memupuk kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan generasi muda di Malaysia akan terus diperkasa melalui sokongan kepada institusi tahfiz dan program pendidikan kitab suci itu.
“Saya berharap anak-anak muda di Malaysia akan terus mencintai al-Quran dan mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh supaya lahir generasi yang memahami agama dan dapat memimpin masyarakat dengan lebih baik,” ujarnya.
-- BERNAMA