GAYA HIDUP

Bermalam Di Masjid Wilayah Persekutuan,"Retreat" Spiritual Sepanjang Ramadan

05/03/2026 09:36 AM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR,  5 Mac (Bernama) -- Ketika kebanyakan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini pulang ke rumah masing-masing selepas solat tarawih, sebahagian lagi memilih untuk bermalam di situ dengan memanfaatkan kemudahan penginapan yang disediakan, demi menumpukan sepenuh perhatian pada ibadah sepanjang Ramadan.

Bagi mereka, masjid bukan sekadar tempat menunaikan solat berjemaah, tetapi menjadi ruang untuk memperlahankan kehidupan yang sibuk, seolah-olah pemukiman kerohanian selama sebulan, untuk memfokuskan pada aktiviti ibadah seperti membaca al-Quran, mengikuti tadarus serta menghadiri majlis pengisian ilmu.

Yang mengambil peluang itu antaranya ialah Johara Bee Mohd Ibrahim, 76 dan Yani Shylvieana Mohd Sharif, 55, yang merupakan sebahagian daripada 10 jemaah terawal mendaftar masuk ke penginapan masjid berkenaan sejak hari pertama Ramadan selepas membuat tempahan seawal Rejab.

pic-2

Johara yang menetap di Gombak, Selangor berkata bermalam di Masjid Wilayah Persekutuan sudah menjadi tradisi setiap kali tiba Ramadan, dan tahun ini merupakan tahun ketujuh dia kembali menginap di masjid itu.

“Di kawasan rumah saya ada beberapa masjid, tapi untuk beribadah secara konsisten seperti membaca al-Quran, berzikir dan menghadiri majlis ilmu, suasananya tidak sama, kerana di rumah kadang-kadang kemungkinan akan ada gangguan lain yang boleh menjejaskan fokus,” katanya kepada Bernama.

“Apabila ada peluang menginap di masjid yang menyediakan bilik, ia memberi ruang kepada saya untuk menumpukan sepenuhnya kepada ibadah dengan tenang. Banyak aktiviti yang dianjurkan di sini, jadi masa kita lebih terisi dengan perkara yang bermanfaat,” tambahnya.

pic-3

Johara berkata antara perkara yang paling memberi kesan kepadanya ialah bacaan al-Quran oleh imam jemputan dari Mesir, Sheikh Abdelrahman Eldesouky, yang mengimamkan solat tarawih dengan bacaan satu juzuk setiap malam.

“Bacaan imam sangat merdu dan kadang-kadang terasa seperti berada di Tanah Suci kerana suasananya yang tenang serta jemaah yang datang dari pelbagai negara. Apabila imam membaca ayat-ayat al-Quran dengan tartil (jelas) dan penuh penghayatan, kita sendiri boleh rasa ketenangan itu dan lebih mudah menghayati maksud bacaan,” katanya.

Berkongsi rutin hariannya, Johara yang juga ibu kepada empat anak, berkata selain menunaikan solat tarawih, masa yang diluangkan di masjid dipenuhi dengan pelbagai pengisian bersifat keagamaan termasuk qiamulail, ceramah selepas solat subuh dan zuhur, sesi talaqqi al-Quran selepas asar serta tadarus pada waktu malam.

“Suasana di sini sangat terasa kebersamaannya kerana jemaah tinggal bersama-sama dan bersemangat untuk beribadah. Kami juga berbuka puasa bersama-sama dengan juadah yang disediakan secara percuma dan kadang-kadang anak-anak saya datang ke sini untuk berbuka,” katanya yang berkongsi bilik dengan seorang lagi jemaah.

pic-4

Bagi Yani pula, kemudahan bermalam di masjid memberi ruang kepadanya mengimbangi tuntutan kerja dan ibadah, kerana rutin hariannya sering terjejas akibat kesesakan lalu lintas, terutama ketika berulang-alik dari kediamannya di Seri Kembangan ke tempat kerja di KL Sentral pada waktu petang.

“Jika pulang ke rumah selepas kerja, banyak masa habis di jalan raya. Jadi saya memilih untuk bermalam di sini supaya dapat memberi tumpuan lebih kepada ibadah, sesuatu yang sukar dilakukan pada bulan-bulan lain,” katanya yang menginap bersama-sama dengan anak bongsunya berusia 14 tahun yang bersekolah berhampiran kawasan itu.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Jamal Abdul Halim berkata penyediaan kemudahan penginapan di aras satu masjid berkenaan bertujuan memberi ruang kepada jemaah memperbanyak amalan dalam suasana lebih selesa sepanjang Ramadan.

pic-5

Beliau berkata kemudahan berkonsepkan asrama itu merangkumi 20 bilik untuk jemaah lelaki dan wanita, dengan kadar bayaran sekitar RM60 semalam, dan setiap bilik dilengkapi dua katil bujang serta almari selain kemudahan pendingin hawa, bilik air serta mesin basuh.

“Setiap tahun, penginapan masjid ini sentiasa menjadi rebutan sehinggakan tempahan penginapan bagi 10 malam terakhir Ramadan telahpun penuh kerana ramai jemaah mahu mengambil peluang memperbanyak ibadah serta merebut kelebihan malam lailatulqadar,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530519