GAYA HIDUP

Bila Puding KA Jadi Ikon Perpaduan Ramadan

28/02/2026 01:08 PM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Dalam tempoh 60 saat video menghasilkan puding karamel, pencuci mulut yang sudah puluhan tahun menghiasi meja makan rakyat Malaysia, ia tiba-tiba bertukar menjadi fenomena nasional yang menyatukan jutaan rakyat merentas usia, agama,  latar belakang dan negeri.

Semuanya disebabkan oleh pempengaruh terkenal Khairul Aming berkongsi resipi berkenaan pada awal Ramadan menerusi siri tahunan 30 Hari 30 Resipi yang sentiasa dinanti-nantikan oleh pengikutnya.

Video berkenaan bukan sahaja meraih lebih 22 juta tontonan, malah mencetuskan gelombang “demam puding karamel” di seluruh negara.

Tidak mahu ketinggalan mencuba resipi mudah itu, ribuan pengguna media sosial berlumba-lumba  menghasilkan pencuci mulut tersebut sebelum berkongsi detik mendebarkan mengetuk loyang dengan pelbagai gaya yang dilakukan bersama-sama dengan keluarga, rakan ataupun saudara-mara untuk melihat hasilnya.

Jika sempurna hasilnya, ia menjadi medan untuk bersama-sama meraikan kegembiraan, namun jika sebaliknya, momen itu tetap dikongsi dan diraikan dengan gelak tawa sekali gus menterjemahkan keakraban serta keutuhan ikatan yang terjalin dengan insan tersayang. 

Segala momen yang dikongsi anak murid pemilik restoran Rembayung ini menambat hati usahawan terkenal berkenaan untuk menghasilkan sebuah video komplikasi berdurasi 10 saat menghimpunkan pelbagai gaya pengikutnya mencuba resipi tersebut sebelum dimuat naik di platform media sosial miliknya. 

Kelihatan sebak sehingga menitis air mata pada permulaan video, Khairul Aming menerusi kapsyen hantarannya menyentuh hati ramai apabila mengakui tidak dapat berkongsi kejayaannya hari ini bersama-sama dengan bapanya, namun video keakraban pengikutnya dan keluarga menjadi “hadiah begitu bermakna” buat dirinya.

“Sembilan tahun lepas, I was alone dalam rumah sewa, buat video masak yang tak tahu ada orang tengok ke tak. Tahun demi tahun kita mula kenal each other. Ada yang dari zaman belajar sekarang dah kerja, ada yang bujang sekarang dah kahwin, ada yang dah jadi mak ayah, dan ada juga yang dah pergi meninggalkan kita.

“Saya dah tak boleh cipta momen ni dengan arwah ayah, tapi bila tengok korang (kamu semua) happy masak dengan family, that means the world to me. Dari Malaysia ke seluruh dunia, terima kasih guys for everything,” luahnya pada kapsyen video kompilasi tersebut. 

pic-2

Ditonton lebih tujuh juta kali dengan 16,500 komen serta 900,400 tanda suka di TikTok sahaja tidak termasuk Instagram, kebanyakan warga maya mengucapkan terima kasih kepada pempengaruh terkenal ini yang secara tidak langsung telah mencipta ruang kebersamaan mengeratkan hubungan  insan tersayang.

Pengguna media sosial menerusi akaun @lisaalee menulis; "Terima kasih KA saya terharu sangat tengok suami dan  anak bergelak ketawa di dapur..mungkin sebab  suami seorang ayah yang tegas dan susah nak tunjuk sayang pada anak," .  

Sementara @m a i i 10A+ pula menulis; "Siapa sangka, daripada video masak-masak je… Khairul Aming boleh buat kita rasa macam satu family. Kita gelak sama-sama bila tak jadi, bangga sama-sama bila berjaya. Tanpa sedar, ukhwah tu terbina sendiri. big thanks to KA ! ,". 

Bagi @ernitamuzahar pula, dia menganggap pempengaruh berusia 34 tahun ini sebagai; “Seorang influencer yang betul-betul memberi manfaat dan ilmu kepada semua. Ikatan kasih sayang terjalin tanpa sedar. Tahniah KA, teruskan usaha anda,”.

Fenomena dan impak yang  dibawa oleh pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Universiti  Vanderbilt, Amerika Syarikat ini, membuatkan ada yang berpendapat beliau layak diangkat sebagai ikon perpaduan negara. 

No rage bait, no sentiment. Just pure inspirationVideo masak yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia. About time bagi KA award sebagai Ikon Perpaduan Negara. Moga terus maju jaya,” kata aktivis politik dan bekas Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Liyana Marzuki di hantaran Facebooknya.

Mengulas fenomena itu, pakar sosial Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran berpandangan kejayaan tersebut adalah hasil daripada gabungan beberapa faktor, antaranya kemahiran komunikasi yang positif, inklusif serta pendekatan yang tidak menimbulkan kontroversi.

"Semua elemen ini menjadikan beliau sebagai ikon penyebar nilai positif yang mampu menarik pengikut bukan hanya kerana resipi tetapi kerana aura dan personaliti yang mesra, mudah diikuti dan menggalakkan keterlibatan sosial secara kolektif.

"Inilah contoh yang perlu diikuti oleh semua pempengaruh. Untuk menjadi popular, tidak perlu ‘create controversial’ atau cipta kandungan yang bercanggah dengan nilai masyarakat," katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528735