KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Pemain beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan memasang tekad tinggi untuk memburu kejuaraan Jelajah Dunia bertaraf Super 1000 pada musim baharu yang membuka tirai menerusi Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, bermula esok hingga 11 Jan ini.
Pearly yang bergandingan bersama M. Thinaah berkata kejayaan memburu gelaran elit itu menuntut mereka mengekalkan momentum cemerlang musim lalu, yang menyaksikan pasangan negara itu melonjak sebagai beregu wanita nombor dua dunia dan muncul naib juara Kejohanan Dunia 2025 di Paris.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata prestasi konsisten sepanjang musim lalu, termasuk kejayaan menjuarai Terbuka Thailand, Terbuka Artik dan Masters Jepun, menjadi sandaran utama mereka untuk melangkah lebih jauh serta mencabar kejuaraan sulung Super 1000 tahun ini.
“Sudah tentu harapan itu ada, tambahan pula kami merupakan pilihan kedua. Tetapi saya harap kami dapat menukar tekanan itu menjadi motivasi untuk beraksi lebih baik di Terbuka Malaysia 2026.
“Kami juga berharap dapat mengurangkan turun naik prestasi, mengekalkan konsistensi dan terus melakukan penambahbaikan sepanjang musim ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi ujian gelanggang di sini, hari ini.
Pencapaian terbaik Pearly-Thinaah pada kejohanan bertaraf Super 1000 setakat ini ialah mara ke pentas final Terbuka Indonesia 2025, sebelum tewas kepada gandingan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, 23-25, 12-21, 19-21.
Pearly turut berharap beliau dan Thinaah mampu menamatkan badi tersingkir awal, selepas tiga edisi berturut-turut Terbuka Malaysia (2023 hingga 2025) gagal melangkah jauh, dan kali ini dapat mencapai pencapaian lebih meyakinkan di hadapan penyokong sendiri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan mereka tidak akan memandang ringan cabaran gandingan ke-53 dunia dari India, Rutaparna Panda–Swetparna Panda, yang bakal menjadi lawan sulung pada pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 1000 itu.
-- BERNAMA