KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao berharap perubahan corak latihan menggunakan pendekatan ala Asia dari Eropah mampu memberi sinar baharu dalam kariernya pada masa akan datang.
Pemain berusia 26 tahun itu mengakui bergelut dengan corak latihan Eropah yang diterapkan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan Kenneth Jonassen hingga beliau mengharungi musim hambar dengan hanya mara ke suku akhir sebanyak dua kali daripada 19 kejohanan disertainya musim 2025.
“Dari kecil saya sudah biasa dengan apa yang saya ada (corak latihan Asia) dan ini mungkin satu kebaikan untuk saya cari balik apa yang saya capai sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada sesi ujian gelanggang Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini hari ini.
Pencapaian terbaik Jun Hao sebelum ini ialah muncul juara Masters Indonesia 2022 dan Super 100 Malaysia 2023 selain naib juara Masters Jepun 2024.
Media baru-baru ini melaporkan Jonassen sudah kembali menggunakan corak latihan berteraskan Asia selepas mendapati pemain negara berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan falsafah Eropah diperkenalkannya pada peringkat awal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), awal tahun lepas.
Jurulatih dari Denmark itu dilaporkan berkata corak latihan Eropah yang menekankan aspek mencabar minda pemain, dengan menuntut mereka menetapkan sasaran sendiri serta memacu perkembangan dan peningkatan prestasi masing-masing dilihat kurang sesuai buat sebahagian pemain, termasuk Jun Hao dan Justin Hoh, sekali gus mendorong perubahan dilakukan.
Sementara itu, Jun Hao berhasrat membuka kempen Terbuka Malaysia 2026 dengan episod kemenangan apabila bakal berdepan pemain ke-29 dari China, Wang Zheng Xing, selepas terkandas awal pada edisi lepas.
Terbuka Malaysia 2026 akan bermula esok hingga 11 Jan ini.
-- BERNAMA