JENAYAH & MAHKAMAH

Kompleks APMM Tok Bali Dijangka Siap 2029

06/01/2026 10:11 PM

PASIR PUTEH, 6 Jan (Bernama) -- Pembinaan Kompleks Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di Tok Bali yang dianggarkan bernilai RM250 juta, kini memasuki fasa akhir penilaian dan dijangka memulakan kerja pembinaan pada awal tahun ini.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata kompleks yang merangkumi bangunan pejabat, jeti dan kuarters itu dijangka siap pada 2029 sekali gus menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif kepada anggota.

Beliau berkata kompleks berkenaan akan dibina di lokasi strategik di muara pantai Tok Bali melibatkan kawasan seluas 14 hektar dengan tiga komponen utama, termasuk jeti sepanjang 200 meter yang berpotensi menjadi antara terbesar di Pantai Timur.

“Dengan kemudahan jeti ini, sebuah kapal besar APMM dijangka ditempatkan di sini bagi menampung keperluan operasi di perairan Pantai Timur, selain penempatan aset tambahan,” katanya kepada pemberita selepas Program Sahabat Maritim Back To School di sini hari ini.

Erwan Shah berkata pembinaan kompleks itu juga akan meningkatkan tahap keselamatan operasi berbanding penggunaan premis sewaan sedia ada yang tidak diwartakan sebagai kawasan larangan.

Pada pembentangan Belanjawan 2026 lepas, Kementerian Dalam Negeri memperuntukkan RM1.5 bilion bagi pembinaan dan penaiktarafan fasiliti badan beruniform di seluruh negara, termasuk projek utama Kompleks APMM Kelantan di Tok Bali.

Terdahulu, Erwan Shah bersama lebih 20 anggota APMM menyantuni 50 pelajar miskin yang kebanyakannya anak nelayan, dengan membawa mereka membeli pakaian dan peralatan persekolahan menerusi sumbangan Kelab Kebajikan APMM.

Beliau berkata program yang dimulakan sejak tahun lepas itu bertujuan meringankan beban keluarga berpendapatan rendah membuat persiapan persekolahan dan akan diteruskan sebagai program tahunan APMM.

“Kita mahu kelab yang ditubuhkan dengan keanggotaan 178 anggota ini bukan sahaja menjaga kebajikan anggota tetapi turut membantu komuniti setempat yang memerlukan, khususnya anak-anak nelayan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata APMM melaksanakan operasi dan pemantauan berterusan sepanjang musim monsun timur laut bagi memastikan keselamatan perairan negara.

Beliau berkata Operasi Preventive Search and Rescue (Preventive SAR) turut menunjukkan keberkesanan apabila hanya satu kes direkodkan tahun lepas melibatkan seorang kanak-kanak yang lemas di Bachok.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2509620