AM

FOI, Ombudsman Tingkat Kepercayaan Rakyat Terhadap Institusi Awam - Lee Lam Thye

06/01/2026 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Malaysia perlu mengutamakan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) yang komprehensif dan penubuhan sistem Ombudsman bebas sebagai reformasi utama bagi memperkukuh ketelusan, integriti dan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam, kata Ahli Institut Integriti Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata kedua-dua reformasi berkenaan akan menjadi tunjang kepada pentadbiran yang terbuka, bertanggungjawab dan berpaksikan rakyat, di samping mengukuhkan nilai demokrasi serta kedaulatan undang-undang.

Lee berkata Akta FOI perlu diiktiraf bukan sekadar sebagai alat pentadbiran, tetapi juga hak asas demokrasi asas yang membolehkan rakyat untuk terlibat secara bermakna dalam hal ehwal awam dan memastikan institusi awam bertanggungjawab.

“Maklumat yang memberi kesan terhadap kehidupan rakyat termasuk perbelanjaan awam, penilaian impak sekitar, keputusan perolehan, hal ehwal tanah, dasar kebajikan tidak seharusnya disembunyikan di sebalik kerahsiaan yang tidak perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengenalan Akta FOI mampu membantu mengubah budaya dalam perkhidmatan awam daripada tanggapan bahawa maklumat adalah milik kerajaan kepada pemahaman bahawa maklumat itu adalah milik rakyat.

Beliau berkata perlindungan keselamatan negara, data peribadi dan hal sulit perlu dihormati, namun menekankan bahawa pendekatan asas seharusnya condong kepada pendedahan maklumat berbanding kerahsiaan.

Dalam pada itu, Lee berkata penubuhan sistem Ombudsman bebas akan menyokong reformasi dengan menangani salah urus pentadbiran, yang boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti kelewatan tidak munasabah, penyalahgunaan kuasa, kecuaian, prosedur tidak adil, berat sebelah, ketidaktelusan serta kegagalan mematuhi proses sewajarnya.

“Tindakan berkenaan bukan sahaja menyulitkan rakyat, tetapi juga menghakis kepercayaan terhadap kerajaan dan menjejaskan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata Ombudsman akan berperanan sebagai saluran yang adil dan mudah diakses oleh rakyat untuk membuat aduan terhadap agensi awam, berbeza daripada mekanisme dalaman jabatan, serta diberi kuasa untuk menyiasat aduan, mencadangkan langkah pembetulan, mengusulkan reformasi sistemik serta menerbitkan laporan awam.

Lee berkata bagi memastikan keberkesanan fungsi sistem itu, ia perlu bebas daripada pengaruh eksekutif, mempunyai bidang kuasa jelas terhadap pihak berkuasa awam, diberi kuasa menyiasat termasuk mengakses dokumen dan memanggil keterangan, menyediakan perlindungan kepada pemberi maklumat dan pengadu, beroperasi secara telus melalui penemuan dan cadangan yang diterbitkan serta disokong dengan sumber mencukupi dan tahap profesionalisme tinggi.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2509622