EKONOMI

Domino’s Pizza Malaysia Buka Peluang Francais Baharu Di Seluruh Negara

06/01/2026 10:03 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Domino’s Pizza Malaysia membuka peluang francais baharu di seluruh negara sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangannya, mempelawa bakal usahawan dan pemilik perniagaan untuk berkembang bersama salah satu jenama piza paling dikenali di dunia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Domino’s Pizza Malaysia, Singapura dan Kemboja, Ringo Joannes, berkata Malaysia terus menjadi pasaran pertumbuhan utama bagi jenama itu, dipacu oleh perkongsian  kukuh, pelaksanaan berdisiplin dan pendekatan yang berpaksikan kepada pelanggan.

“Kejayaan kami di Malaysia dibina atas kerjasama kukuh, pelaksanaan berdisiplin dan tumpuan berterusan kepada pelanggan.

"Seiring perkembangan kami, kami sedang mencari rakan kongsi francais yang berjiwa keusahawanan, dipacu nilai, dan komited untuk berkembang bersama kami bagi jangka masa panjang,” katanya.

Joannes berkata salah satu pencapaian Domino yang paling membanggakan ialah melihat kakitangannya berkembang menjadi pemilik perniagaan, dengan ramai ahli pasukannya menjadi usahawan berjaya yang kini menerajui dan memiliki restoran Domino mereka sendiri.

Beliau berkata Domino's melengkapkan pemegang francaisnya dengan model perniagaan yang telah terbukti berjaya, latihan komprehensif dan sokongan berterusan dalam operasi, teknologi dan pemasaran, yang membolehkan rakan kongsi memberi tumpuan kepada membina pasukan yang kukuh serta menyediakan makanan berkualiti dan menyelerakan.

“Pemegang francais kami mendapat manfaat daripada model perniagaan yang telah terbukti berjaya dan bimbingan berterusan, membolehkan mereka memimpin pasukan yang mantap, menyediakan makanan yang menyelerakan dan memberi impak positif dalam komuniti mereka,” katanya.

Sementara itu, rakan kongsi francais pertama Domino's Malaysia dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Shamsul Amree Abdul Rahman menyifatkan francais dengan Domino's bukan hanya sekadar peluang perniagaan - ia merupakan legasi jangka panjang.

“Saya menghabiskan hidup saya berkembang bersama Domino’s, dan saya melihat ini lebih daripada sekadar peluang perniagaan. Ia adalah legasi yang sedang dibina. Kekuatan model perniagaan, operasi dan sistem sokongan Domino membolehkan kejayaan jangka panjang, membolehkan orang ramai membina sesuatu yang bermakna dari semasa ke semasa,” katanya.

Rakan kongsi francais Domino’s dan bekas pengurus besar bagi operasi Malaysia Timur, Rimash Arumugam berkata beliau memilih Domino’s kerana sistemnya yang telah terbukti, operasi berdisiplin dan model yang dipacu teknologi.

“Kebolehpercayaan dan potensi pertumbuhan jenama yang boleh dikembangkan memberi saya keyakinan untuk melabur membuka lebih banyak restoran, dan saya teruja untuk terus membina kejayaan di Sabah sebagai pemilik francais,” katanya.

Menerusi program francaisnya, Domino’s menyediakan latihan menyeluruh, panduan operasi berterusan, akses kepada pasukan sokongan berpusat dan ekosistem pemasaran dan digital yang kukuh, termasuk platform e-dagang dan penghantaran, untuk menyokong rakan kongsi francais di seluruh negara.

Domino’s Pizza Malaysia kini mengendalikan lebih 270 restoran di seluruh negara dan terus meletakkan dirinya sebagai jenama yang dipacu secara digital, dengan tumpuan utama kepada kualiti, inovasi dan pengalaman pelanggan.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2509616