AM

86 Premis Penginapan Di Semporna Diberi Tempoh Tiga Bulan Mohon Lesen

06/01/2026 11:21 PM

KOTA KINABALU, 6 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menetapkan tempoh tiga bulan bagi 86 premis penginapan di Semporna yang belum berlesen untuk menyelesaikan permohonan lesen sekali gus mematuhi keperluan perundangan ditetapkan.

Pembantu Menterinya Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Saina berkata kegagalan memohon lesen akan diambil tindakan dan mekanisme penguatkuasaan akan dilaksanakan secara bersepadu.

“Berdasarkan dapatan semasa 190 premis penginapan telah dikenal pasti beroperasi di Semporna dan daripada jumlah itu 45 premis berjaya dilesenkan, 59 premis sedang dalam proses memohon lesen manakala 86 premis masih belum mengambil tindakan bagi pelesenan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja khas bagi menangani isu pelancongan di Semporna sebagai langkah proaktif memperkukuh tahap keselamatan serta keyakinan pelancong.

Dr Andi Md Shamsureezal berkata pihaknya akan melaksanakan operasi bersepadu dalam masa terdekat, dengan kerjasama agensi penguat kuasa serta pihak berkuasa tempatan, khususnya bagi memastikan pematuhan pelesenan termasuk prosedur operasi standard (SOP) keselamatan pelancong.

“Semporna merupakan destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya akan menerbitkan SOP berkaitan keselamatan pelancong dan boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi KePKAS bagi memberi kefahaman kepada pihak berkepentingan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2509625