JASIN, 5 Jan (Bernama) -- Polis menahan tiga individu dan merampas sepucuk senjata api bersama amunisi dalam serbuan di sebuah rumah di daerah ini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin Supt Lee Robert berkata serbuan kira-kira 5.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin itu hasil maklumat awam.
“Dalam serbuan berkenaan, polis menahan dua lelaki berusia 54 dan 45 tahun serta seorang wanita berusia 22 tahun. Turut ditemukan ialah senjata api dan amunisi yang diletakkan di atas sebuah meja di bawah garaj rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semakan lanjut mendapati kedua-dua lelaki berkenaan masing-masing mempunyai tiga dan tujuh rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, manakala wanita terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Lee berkata antara barangan yang dirampas ialah selaras senjata api jenis shotgun berwarna coklat, satu unit penghadang tangan senjata api jenis shotgun serta satu unit tali pinggang peluru.
“Selain itu, polis turut merampas 10 butir kelongsong peluru jenis 12 bore berwarna putih, masing-masing satu butir kelongsong peluru jenis 12 bore berwarna merah, hijau dan coklat, serta satu unit sarung senjata api,” katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Jan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
-- BERNAMA