AM

MRSM Ulul Albab Pertama Kelantan Bakal Dibina Di Tanah Merah - Asyraf Wajdi

11/07/2025 07:18 PM

TUMPAT, 11 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju membangunkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab di Tanah Merah hasil permintaan UMNO Bahagian Tanah Merah, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata penubuhan MRSM itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis MARA yang akan datang susulan pengesahan bahawa peruntukan bagi projek berkenaan telah pun tersedia.

“Saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat MARA akan datang. Kita juga akan menulis semula surat kepada Kementerian Ekonomi untuk melaksanakannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat di Dewan MRSM Tumpat di sini, hari ini, yang turut dirasmikan oleh Presiden UMNO Ahmad Zahid.

Asyraf Wajdi berkata cadangan itu merupakan aspirasi akar umbi yang telah lama diketengahkan oleh perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah.

Terdahulu, beliau memuat naik cadangan berkenaan di Facebook rasminya hari ini.

Dalam hantaran itu, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa MRSM Ulul Albab Tanah Merah bakal menjadi institusi pertama seumpamanya di Kelantan.

“Benar, kesemua 57 MRSM ketika ini melaksanakan program Ulul Albab sama ada secara mini (Tamhidi), yang memerlukan pelajar menghafaz sekurang-kurangnya lima juzuk atau surah terpilih termasuk Juzuk Amma.

“Daripada jumlah itu, hanya lapan MRSM melaksanakan program penuh Ulul Albab dan MRSM Tanah Merah bakal menjadi yang kesembilan melaksanakannya secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata dengan arahan dan persetujuan terkini daripada Ahmad Zahid, projek MRSM Tanah Merah akan diusahakan segera melalui proses tatakelola yang betul bagi merealisasikan hasrat UMNO Tanah Merah yang membawa suara rakyat Tanah Merah dan Kelantan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2444277