Oleh Siti Noor Afera Abu and Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri minggu ini dengan prestasi sedikit rendah pada Jumaat apabila para pelabur menantikan pemangkin baharu terutamanya rundingan perdagangan yang sedang berlangsung di antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS).
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 0.45 mata atau 0.03 peratus kepada 1,536.07 daripada 1,536.52 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.36 mata lebih tinggi pada 1,537.88 dan berlegar antara 1,530.77 hingga 1,541.94 sepanjang sesi dagangan.
Namun begitu, sentimen pasaran kekal positif dengan 510 kaunter untung mengatasi 450 kaunter rugi, 532 kaunter tidak berubah manakala 926 kaunter tidak diniagakan dan 10 kaunter lagi digantung.
Jumlah dagangan melonjak kepada 3.37 bilion saham bernilai RM2.30 bilion daripada 3.25 bilion saham bernilai RM2.45 bilion pada Khamis.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata indeks petunjuk pasaran itu mencatat paras tertinggi harian pada 1,541.94 sebelum menyusut pada sesi petang, mencerminkan aktiviti pengambilan untung secara berselang-seli selain kurang keyakinan berikutan ketidaktentuan dasar luar.
Walaupun sentimen pasaran agak suram, beliau berkata momentum asas masih kukuh memandangkan penilaian terus kelihatan menarik berbanding paras 2024 terutamanya bagi pelabur jangka panjang yang cenderung kepada strategi pelaburan berasaskan nilai.
“Saham telekomunikasi mendahului kaunter untung disokong oleh penambahbaikan dalam lembaran imbangan dan keyakinan pelabur terhadap kualiti pendapatan.
"Sebaliknya, sektor utiliti berdepan tekanan apabila pelabur mengambil untung selepas lonjakan ketara yang berlaku selama dua minggu,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat serantau, Mohd Sedek berkata pasaran menunjukkan tanda-tanda awal pengagihan semula portfolio oleh pelabur institusi yang berpangkalan di AS.
“Jika aliran ini berterusan, ia berpotensi memberikan sokongan struktur kepada ekuiti serantau termasuk Malaysia apabila risiko kenaikan tarif dan peralihan kepada keadaan monetari yang lebih longgar meningkatkan daya tarikan relatif Asia,” katanya.
Dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM9.69 manakala Public Bank naik dua sen kepada RM4.32, Tenaga Nasional kekal pada RM13.96, CIMB merosot dua sen kepada RM6.68 dan IHH Healthcare turun tujuh sen kepada RM6.58.
Dalam kalangan kaunter dagangan aktif, Zetrix AI dan Dagang Nexchange masing-masing menokok dua sen kepada RM1 dan 32 sen. Tanco dan NexG kedua-duanya bertambah setengah sen kepada 90.5 sen dan 45 sen manakala Sapura Energy berkurangan setengah sen kepada 3.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 15.25 mata kepada 11,543.58, Indeks FBMT 100 berkembang 15.61 mata kepada 11,308.74 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 43.73 mata kepada 11,552.47.
Indeks FBM 70 meningkat 105.75 mata kepada 16,761.35 manakala Indeks FBM ACE bertambah 21.60 mata kepada 4,538.17.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 14.25 mata kepada 17,608.13, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik sedikit sebanyak 0.55 mata kepada 154.09 manakala Indeks Perladangan susut 10.81 mata kepada 7,450.45. Indeks Tenaga menokok 1.0 mata kepada 737.62.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat sedikit kepada 1.36 bilion unit bernilai RM1.99 bilion daripada 1.32 bilion unit bernilai RM2.17 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 1.70 bilion unit bernilai RM2.03 bilion daripada 1.69 bilion unit bernilai RM190.86 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 318.83 juta unit bernilai RM107.58 juta daripada 241.47 juta unit bernilai RM86.17 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 161.98 juta saham diniagakan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (201.87 juta), pembinaan (109.35 juta), teknologi (265.10 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (81.56 juta), hartanah (228.25 juta), perladangan (12.61 juta), REITs (23.88 juta), dana tertutup (15,500), tenaga (91.82 juta), penjagaan kesihatan (55.13 juta), telekomunikasi dan media (49.04 juta), pengangkutan dan logistik (33.85 juta), utiliti (43.83 juta) serta amanah perniagaan (132,600).
-- BERNAMA