JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Serbu Pusat Hiburan Tawar Khidmat GRO Di Medan Imbi

10/07/2025 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Seramai 73 wanita disyaki gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam Op Hiburan Khas yang dijalankan polis ke atas sebuah pusat karaoke dan bar di Medan Imbi, tengah malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kesemua wanita berusia antara 24 hingga 40 tahun itu terdiri daripada tiga warga tempatan, 52 warga Thailand, lima warga Vietnam, dua warga China, enam warga Laos dan lima warga Indonesia.

Beliau berkata dalam operasi yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 12.30 tengah malam itu, seorang wanita tempatan berusia 49 tahun turut ditahan kerana disyaki penjaga premis.

“Hasil pemeriksaan mendapati 68 daripada wanita terbabit memiliki dokumen perjalanan sah, manakala dua lagi tidak mempunyai sebarang dokumen. Namun, kesemua mereka dikesan menyalahgunakan visa pelancong untuk bekerja di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata seramai 145 individu termasuk pekerja dan pelanggan pusat hiburan berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Katanya siasatan awal mendapati premis hiburan itu menggaji warga asing tanpa permit sah serta mengenakan bayaran tip antara RM100 hingga RM500 bagi perkhidmatan GRO, selain menyalahgunakan dokumen perjalanan dan visa pelancong.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443581