JENAYAH & MAHKAMAH

Wang Simpanan Setengah Juta Lesap Terperdaya Sindiket 'Phone Scam'

10/07/2025 05:41 PM

IPOH, 10 Julai (bernama) -- Panik didakwa kononnya terlibat dengan kegiatan pemalsuan wang dan penggubahan wang haram, seorang pegawai biologi marin kerugian RM500,000 selepas diperdaya sindiket penipuan "phone scam" pada Mei lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata lelaki berusia 44 tahun yang bertugas di sebuah syarikat swasta itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, semalam.

“Siasatan awal polis mendapati pada 14 Mei 2025 mangsa menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali memaklumkan pengadu terlibat dengan pemalsuan wang dan juga penggubahan wang haram.

“Pada hari berikutnya, mangsa dihubungi oleh suspek yang mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang serta ditunjukkan semua dokumen diri mangsa, seterusnya disambungkan kepada pegawai penyiasat di Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat percaya dengan suspek, mangsa membuat pindahan wang secara dalam talian dan juga melalui mesin teler automatik (ATM) ke sembilan akaun yang berlainan berjumlah RM500,000.

Noor Hisam berkata sumber kewangan itu hasil simpanan mangsa dan wang daripada ahli keluarganya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya jangan mudah percaya jika terima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali yang mengaku pihak polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, bank, mahkamah, kurier dan sebagainya yang menuduh anda terlibat dengan jenayah, hutang atau bungkusan mencurigakan.

Beliau berkata jika diminta membuat pindahan wang ke akaun keselamatan atau mendedahkan maklumat perbankan atau kod “otp”, jangan panik serta kongsi maklumat peribadi sebaliknya tamatkan panggilan dan membuat pengesahan dengan pihak rasmi. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443705