KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- AirAsia X Bhd (AAX) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah iaitu sebanyak RM50.21 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 daripada RM80.11 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, perolehan bagi suku yang dinilai meningkat kepada RM940.08 juta daripada RM908.91 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan jualan tiket hasil daripada pertambahan jumlah penumpang dan pendapatan sampingan setiap penumpang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat penerbangan itu berkata ia membawa 1.08 juta penumpang daripada 1.29 juta tempat duduk pada suku pertama 2025 dan menyumbang faktor muatan penumpang sebanyak 83 peratus yang mencerminkan permulaan kukuh bagi tahun ini.
“Lembaga Pengarah berbesar hati untuk berkongsi keputusan bagi suku pertama 2025 yang memberangsangkan serta meyakini syarikat berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran dalaman yang ditetapkan,” katanya.
Mengenai prospek, AAX berkata pihaknya menyedari mengenai aliran bersejarah yang lazimnya berlaku pada suku kedua dan ketiga tahun ini dan kekal optimis terhadap trajektori jualan hadapannya, terutamanya disokong oleh aliran peningkatan dalam pengambilan perkhidmatan sampingan.
“Sekiranya tiada sebarang keadaan yang tidak dijangka, kumpulan optimis mengenai momentum ini yang akan dapat dikekalkan apabila memasuki satu daripada suku terkukuh iaitu antara Oktober hingga Disember.
“Walaupun faktor geopolitik kekal tidak menentu di beberapa rantau dunia, kumpulan bersikap berhemat dalam pemantauan terhadap aliran kadar pertukaran wang asing dan harga bahan api jet,” katanya.
AAX tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku pertama 2025.
-- BERNAMA