PASARAN

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi, Jejaki Kenaikan Wall Street

03/06/2025 10:33 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, mengambil petunjuk daripada kenaikan semalaman Wall Street dalam persekitaran ketegangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Seorang penganalisis berkata pelabur menidakkan pertikaian yang semakin meruncing antara kedua negara itu walaupun kedua-dua negara menuduh satu sama lain melanggar penangguhan sementara perdagangan selama 90 hari.

Pada 9.05 pagi, indeks utama meningkat 3.01 mata kepada 1,511.36 berbanding 1.508.35 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras dibuka 4.37 mata lebih tinggi kepada 1,512.72.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 192 berbanding 131, manakala 297 kaunter tidak berubah, 1,726 tidak diniagakan dan 15 digantung.

Jumlah dagangan 167.69 juta unit bernilai RM87.79 juta.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada 2 Jun, 2025, sempena cuti umum menyambut Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata di Hong Kong, Indeks Hang Seng merosot apabila ketegangan perdagangan AS-China terus menjejaskan sentimen.

Sentimen dilemahkan lagi oleh jumlah penjualan rumah baharu di China yang rendah, merosot 8.7 peratus pada April walaupun lebih baik daripada penurunan 11.4 peratus pada Mac.

Di peringkat tempatan, FBM KLCI jatuh lagi pada Jumaat lepas kepada di bawah paras 1,510 susulan penjualan dana asing berterusan.

“Kami mendapati terdapat usaha untuk menyokong indeks, tetapi ia tidak berjaya.

“Walaupun begitu, kami menasihati pelabur untuk mengumpul saham mewah, iaitu saham bank dan telekomunikasi, apabila indeks turun di bawah paras 1,500.

“Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks penanda aras berlegar dalam julat 1,500–1,510,” katanya kepada Bernama.

Dalam kaunter berwajaran tinggi, Petronas Dagangan naik 42 sen kepada RM20.12, Kuala Lumpur Kepong (KLK) meningkat 40 sen kepada RM19.88, PPB Group menambah 22 sen kepada RM11.50, SD Guthrie melonjak 6.0 sen kepada RM4.54 dan Sime Darby menokok 2.0 sen kepada RM1.72.

Bagi saham aktif, Bintai susutr 0.5 sen kepada 7.0 sen, Alam Maritim tidak berubah pada 3.0 sen, Harvest Miracle Capital naik setengah sen kepada 18.5 sen, ICT Zone Asia merosot 0.5 sen kepada 19.5 sen, manakala Capital A naik 2.5 sen kepada 87.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 14.27 mata kepada 11,314.07, Indeks FBMT 100 naik 15.88 mata kepada 11,076.88, Indeks FBM ACE pula jatuh 10.85 mata kepada 4,540.18, Indeks FBM Emas Shariah menambah 0.16 mata menjadi 11,256.42 manakala Indeks FBM 70 turun 1.02 mata kepada 16,200.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 62.96 mata kepada 17,903.50,  Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.33 mata kepada 152.32,  Indeks Tenaga merosot 0.64 mata kepada 707.40, manakala Indeks Perladangan meningkat 48.81 mata kepada 7,256.66.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2430180