Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- MTD Properties Sdn Bhd mengumumkan pelaburan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion bagi pembangunan perbandaran generasi akan datang (next-gen) di Kajang, Selangor dan Melaka, yang direka berteraskan kemampanan, inovasi dan kualiti.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD Dr Nik Fauzan Nik Faizul berkata komitmen sebanyak RM1 bilion itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi koridor pembangunan di Malaysia serta mengambil kira keperluan pembeli rumah masa kini yang semakin berkembang.
“Apabila melaksanakan pembangunan atau projek, kami sentiasa mengutamakan komuniti dengan memastikan pendekatan yang seimbang dan penuh ketelitian.
“Berteraskan kemampanan, inovasi dan kualiti demi komuniti, kami membina untuk generasi akan datang,” katanya semasa temu bual dengan Bernama di Karnival Jom Heboh di sini hari ini.
Komitmen GDV sebanyak RM1 bilion itu merangkumi MTD Sutera Vista Residency dan MTD Sungai Kantan di Kajang, serta MTD Nexus 28 Industrial Park di Ayer Keroh, Melaka.
MTD Sutera Vista Residence ialah pangsapuri servis moden yang terletak di Taman Sutera, Kajang yang berjumlah 378 unit. Ia terletak secara strategik berhampiran lebuh raya SILK dan LEKAS, menawarkan kemudahan bandar serta keterhubungan yang cemerlang untuk penduduk yang menginginkan gaya hidup yang dinamik.
Sementara itu, MTD Nexus 28 Industrial Park merupakan Hub industri masa depan di Melaka yang merangkumi 87 unit kilang lengkap dengan system pintar bersepadu dan pemasangan solar fotovoltaik (PV). Direka untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan, ia merupakan pelaburan ideal bagi perusahaan industri moden.
Selain itu, Dr Nik Fauzan turut memberitahu bahawa pada tahun ini syarikat telah melancarkan MTD Elysia Heights, sebuah pembangunan yang dirancang dengan baik merangkumi 197 rumah teres di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh dengan penekanan terhadap reka bentuk kontemporari dan nilai jangka panjang.
MTD Elysia Heights akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perumahan berkualiti di kawasan pinggir bandar Melaka yang semakin pesat membangun.
“Setiap pelancaran produk baharu akan melalui penyelidikan yang menyeluruh — kami akan memastikan produk terbaik ditawarkan selaras dengan permintaan pasaran,” katanya.
Permintaan yang berkembang pesat dalam sektor hartanah
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTD Properties Reime Rizal Abdul Aziz berkata syarikat merekodkan pertumbuhan lebih lima peratus dalam permintaan kediaman pada tahun lepas.
“Alhamdulillah, untuk kebanyakan pelancaran kami, kami mencapai kadar penjualan melebihi 50 peratus. Sambutan yang kukuh ini telah memberi motivasi kepada kami untuk menghasilkan lebih banyak kediaman dan itulah yang sedang kami lakukan sekarang.
“Kami percaya masih terdapat permintaan yang kukuh dalam sektor hartanah dan pembangunan kediaman dan kami menjangkakan pertumbuhan berterusan pada tahun akan datang,” katanya.
Beliau menambah ramai pasangan muda, selepas keluar dari rumah ibu bapa dan berkahwin, cenderung mencari rumah di kawasan pinggir bandar, menjadikan lokasi seperti Kajang dan Melaka amat menarik.
Senada dengan CEO MTD Properties, Dr Nik Fauzan berkata pertumbuhan lima peratus (kediaman) syarikat pada tahun lepas mencerminkan trend menaik yang stabil dan berterusan sejak 2022 hingga kini.
“Selepas pandemik, pasaran hartanah mengambil masa untuk pulih. Bagaimanapun, MTD Properties telah mengambil langkah besar dengan melancarkan dua projek iaitu MTD Sutera Niaga 8 — pejabat kedai dua tingkat dan MTD Cinerea Heights.
“Projek di Kajang terjual sepenuhnya dalam masa setahun, manakala projek di Melaka mencapai kira-kira 70 peratus kadar penjualan, yang merupakan satu kejayaan besar,” kata beliau.
Beliau berkata ini jelas menunjukkan permintaan dan pertumbuhan yang meningkat dalam pasaran hartanah, selaras dengan prestasi cemerlang pada 2024, di mana nilai transaksi meningkat 18.0 peratus kepada RM232.30 bilion.
Beliau berkata dengan peningkatan dalam permintaan pasaran, MTD Properties bersemangat untuk meningkatkan nilai bagi cabang pelaburannya.
MTD Properties menyertai Karnival Jom Heboh dari 30 Mei hingga 1 Jun, 2025 untuk mengukuhkan kehadirannya di peringkat akar umbi serta menzahirkan falsafahnya dalam membina bukan sekadar struktur, tetapi juga hubungan yang bermakna dan berkekalan.
-- BERNAMA