DUNIA

Anwar, Paetongtarn Pacu Hubungan Malaysia-Thailand Ke Tahap Lebih Tinggi

03/06/2025 04:57 PM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Hubungan dua hala antara Thailand dan Malaysia kini memasuki fasa baharu yang lebih kukuh, dengan komitmen tinggi kedua-dua perdana menteri untuk mempererat kerjasama dan merintis hala tuju baharu ke arah kerjasama lebih mendalam.

Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa menegaskan perkembangan positif ini, dengan menyatakan bahawa hubungan erat antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra mencerminkan kerjasama yang lebih utuh dan berpandangan ke hadapan.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar dan Perdana Menteri Paetongtarn, Malaysia dan Thailand menyaksikan kerjasama yang semakin mendalam, khususnya di kawasan sempadan kedua-dua negara.

“Setiap kali kedua-dua pemimpin ini bertemu, saya dapat melihat hubungan yang sangat akrab antara mereka. Ini merupakan peluang baik untuk Thailand dan Malaysia bekerjasama rapat, bukan sahaja dalam perdagangan dan pelaburan, tetapi juga dalam keselamatan manusia,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan mesyuarat berkaitan yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Komunikasi yang kerap antara kedua-dua pemimpin juga membantu memperkukuh persefahaman bersama dan membuka jalan ke arah kerjasama strategik yang lebih luas.

Hubungan ekonomi antara kedua-dua negara jiran itu kekal kukuh. Pada 2024, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah dagangan bernilai US$25.03 bilion (RM114.56 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, jumlah dagangan dua hala ialah US$3.96 bilion (RM17.65 bilion), meningkat daripada US$3.67 bilion (RM16.80 bilion) bagi tempoh sama pada 2024.

Anwar dan Paetongtarn memberi penekanan terhadap pembangunan kawasan sempadan. Mereka berhasrat membangunkan koridor ekonomi yang rancak di sepanjang sempadan melalui galakan perdagangan dan pelaburan, serta pelaksanaan projek infrastruktur rentas sempadan untuk mempertingkatkan keterhubungan.

Kedua-dua pihak turut memberi keutamaan kepada integrasi Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) bagi merangsang perdagangan dan pelaburan rentas sempadan.

Aktiviti ekonomi di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand merupakan pemacu penting kepada pembangunan ekonomi kedua-dua negara, dengan perdagangan sempadan kini menyumbang lebih 30 peratus daripada jumlah dagangan dua hala.

Maris menyifatkan pembangunan bersama kawasan sempadan oleh Malaysia dan Thailand sebagai contoh kerjasama yang saling menguntungkan.

Beliau menekankan potensi besar kerjasama rentas sempadan yang wajar diteroka, termasuk dalam industri halal yang sedang berkembang, serta sektor minyak sawit dan getah.

Katanya, meskipun kedua-dua pemimpin boleh memudah cara dan menyelaras pembukaan peluang baharu, hasil sebenar hanya dapat dicapai dengan penyertaan aktif sektor swasta dari kedua-dua negara.

“Ada dasar yang baik antara kedua-dua negara yang boleh membawa kepada penglibatan dan kerjasama sektor swasta secara lebih produktif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan pesat di kawasan terbabit,” katanya.

Anwar dan Paetongtarn mengekalkan komunikasi yang baik menerusi pertemuan fizikal dan perbualan telefon bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama.

Setakat ini, mereka telah bertemu sebanyak tiga kali - kali pertama di Putrajaya pada Disember tahun lalu, diikuti di Bangkok pada April lepas.

Kedua-dua pemimpin turut bertemu di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur minggu lepas.

Mereka bersetuju untuk mengadakan mesyuarat Kabinet bersama di kawasan sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam, akhir tahun ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2430176