GAYA HIDUP

“Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite”, Sebuah Konsert Penuh Kenangan Dan Mimpi Indah

03/06/2025 10:30 AM

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah malam yang memeluk kenangan. Itulah yang dibawa oleh  Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite pada Sabtu lepas, apabila ratu muzik Indonesia, Melly Goeslaw ‘menyulap’ Axiata Areana Bukit Jalil menjadi medan emosi dan nostalgia yang sukar dilupakan.

Lebih 6,000 peminat yang hadir bukan hanya menyaksikan persembahan, sebaliknya merasai semula detik-detik magis zaman remaja menerusi rantaian lagu-lagu Melly yang sinonim dengan lagu runut filem Indonesia  hingga menggetar jiwa penonton yang hadir sekali gus membuktikan bahawa muziknya bukan sekadar hiburan, sebaliknya bahasa emosi yang menyatukan dua negara.

Mahukan kelainan berbanding dua konsertnya pada 2023 dan 2024, komposer yang terkenal dengan fesyen unik serta turut digelar sebagai Lady Gaga Indonesia ini jelas mengotakan janjinya untuk menghangatkan pentas kali ini dengan sesuatu yang jauh berbeza, istimewa serta tidak pernah dipersembahkan sebelum ini.

pic-2

Dengan membuka detik malam itu menerusi lagu ‘Ku Bahagia’, lagu runut bunyi daripada filem popular, Ada Apa Dengan Cinta pada 2002 yang bukan sahaja mencetuskan fenomena bahkan berjaya membawa ‘tuah’ kepada wanita ini sehingga dikenali melangkaui sempadan geografi tiga negara.

“Saya bersyukur kerana diberi ruang istimewa ini, diterima oleh masyarakat Malaysia. Terima kasih kerana masih sudi mendengar dan merasakan muzik saya, walau kita berbeza bahasa, kita tetap bersatu melalui hati,” katanya.

Menyedari album Ada Apa Dengan Cinta itu begitu bermakna serta terus malar segar merentasi hati peminatnya melangkaui pelbagai generasi biarpun usianya sudah lebih dua dekad, beberapa rantaian lagu hit filem romantis dibintangi Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo menjadi alunan Melly malam itu. 

pic-3

Denting, Suara Hati Sang Kekasih, antara lagu dari album penuh nostalgia itu, berjaya membawa peminatnya untuk menyelusuri terowong waktu kisah remaja, cinta pertama sehingga Axiata Arena seakan tidak tidur dengan gema suara peminat yang turut sama mendendangkan lagu tersebut bersama Melly. 

Igauan peminat nyata tidak terhenti di situ apabila detik penuh magis serta kehangatan konsert ini kian membara dengan kemunculan hero kegilaan ramai dalam filem tersebut, Nicholas yang tampil ke pentas mendeklamasikan puisi buat peminatnya sehingga membuatkan ramai yang semakin galau malam itu. 

Mungkin inilah antara ‘keistimewaan’ konsert Melly kali ini, apabila kehadiran aktor tampan berpakaian serba hitam itu bukan sahaja menggamatkan seluruh dewan bahkan mencetuskan histeria  dan mengubati kerinduan kepada aktor yang menggalas watak Rangga menerusi filem itu. 

pic-4

Melly yang tampil dengan empat gaya avant-garde, gabungan elemen unik serta berani yang sinonim dengan diva berkenaan, anak kelahiran Bandung, Indonesia ini juga turut menjadikan pentas malam itu penuh kejutan apabila turut mendedikasi segmen istimewa pada konsertnya.

Memilih segmen khas mendendangkan lagu sahabatnya dari Malaysia menerusi Janji Manismu nyanyian asal Datuk Aishah disusuli Aku Cinta Padamu (Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza) serta Isabella (Search), Melly berjaya mencipta momen penuh makna penyatuan dua negara menerusi keindahan muzik. 

Jaringan kemesraan itu lebih terasa selain ruang acara konsert itu semakin membara kehangatannya apabila penyanyi asal, Siti Nurhaliza mahupun Datuk Amy Search yang hadir pada malam itu, turut sama bangkit dari tempat duduk dan menyanyi bersama Melly, sebagai tanda sokongan kepada rakan Indonesia mereka. 

pic-5

Bagai tidak terasa masa yang berlalu, peminat Melly semakin bertenaga menyemarakkan malam itu sebaik pentas didatangi penyanyi hebat negara, Aina Abdul yang mengalunkan lagu Cinta secara solo dengan vokal mantapnya sehingga menerima sorakan ramai. 

Sememangnya persembahan kali ini penuh dengan kejutan sehingga konsert berdurasi dua jam setengah ini terasa begitu singkat biarpun hakikatnya Melly telah mendendangkan lebih  20 buah lagu termasuk lagu rancak seperti  Pencinta Wanita, Hey Ladies dan Tak Tahan Lagi. 

Selain  turut diserikan dengan kolaborasi istimewa bersama penyanyi muda dari negeri kelahirannya, Dhinda Ghania, Melly sempat juga membuatkan Axiata Arena sepi seketika.

pic-6

Kelihatan sebak saat mengalunkan lagu Sampai Kumenutup Mata, Melly mengakui dirinya tidak mampu meneruskan kehidupan tanpa suaminya, Anto yang merupakan tulang belakang kepada kerjaya seninya selain mereka juga saling melengkapi antara satu sama lain. 

Di penghujung konsert, Melly sempat menitipkan kata-kata: “Izinkan saya terus ke sini (Malaysia), setiap tahun,”, dengan menyifatkan konsert malam itu yang mengangkat tema ‘Prom Nite’ menjadi pelengkap pada konsert sebelum ini iaitu Ada Apa Dengan Melly (Back To School) dan Ada Apa Dengan Melly Friends (Malam Graduasi).

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2430172