AM

Taman Negara Bako Dan Bukit Lambir Dicalon Sebagai ASEAN Heritage Park

28/05/2025 11:55 AM

KUCHING, 28 Mei (Bernama) -- Taman Negara Bako di Kuching dan Taman Negara Bukit Lambir di Miri dicalonkan sebagai tapak ASEAN Heritage Park (AHP), kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak berkata penilaian terhadap pencalonan berkenaan telah dilaksanakan oleh pihak The ASEAN Centre for Biodiversity (ACB).

“Keputusan penilaian ini dijangka diketahui pada September tahun ini,” katanya ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Awang Tengah berkata pencalonan dua taman negara berkenaan dibuat susulan pengiktirafan Kompleks Gua Taman Negara Niah di Miri sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tahun lepas.

Sementara itu, Awang Tengah berkata Sarawak telah mewartakan 2.1 juta hektar Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) terdiri daripada 874,000 hektar kawasan daratan dan 1.2 juta hektar kawasan perairan marin.

“Bagi memperkukuh usaha konservasi hutan, Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Sarawak Infectious Disease Centre (SIDC) bagi kajian penyakit zoonotik, MoU dengan Sarawak Biodiversity Centre (SBC) bagi kerjasama teknikal biodiversiti dan MoU dengan Universiti Malaya dalam penyelidikan genetik,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428302