DUNIA

Sarawak Giatkan Peranan Dalam Grid Tenaga ASEAN, Perluas Visi TBB - Awang Tengah

31/05/2025 08:41 PM

Daripada Karina Imran

OSAKA, 31 Mei (Bernama) -- Sarawak sedang mempergiatkan rancangan untuk mengintegrasikan Borneo ke dalam Grid Tenaga ASEAN (APG), sekali gus menekankan komitmennya terhadap kerjasama tenaga serantau, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata Sarawak telah membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan Barat, Indonesia sejak 2016 dan kini sedang dalam proses untuk membekalkan tenaga kepada Brunei.

“Kami akan memainkan peranan kami untuk menyumbang kepada APG. Sarawak juga sedang giat mempertingkatkan infrastruktur grid bagi mengukuhkan pengagihan tenaga ke seluruh negeri dan ke luar,” katanya selepas majlis perasmian Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka, Jepun, hari ini.

Selain tenaga boleh baharu (TBB), Awang Tengah berkata Sarawak sedang mentransformasikan landskap perindustriannya melalui usaha kepelbagaian strategik dalam bidang hidrogen, pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon, minyak dan gas (O&G), produk petrokimia, serta aeroangkasa.

Beliau berkata usaha yang dilakukan itu akan melengkapi sektor minyak dan gas (O&G) yang mampan serta pengembangan ke dalam aktiviti hiliran petrokimia bernilai tinggi, dengan memanfaatkan teknologi canggih dan amalan mampan.

“Sarawak sedang membentuk sebuah hab ekonomi yang dinamik di Asia Tenggara, mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan tanggungjawab alam sekitar sambil mencapai kemakmuran jangka panjang,” kata Awang Tengah.

Sarawak katanya akan menjadi hab bagi tenaga boleh baharu (TBB) yang berteraskan kuasa hidro kerana ia mempunyai potensi untuk menjana sekurang-kurangnya 30,000 megawatt (MW) atau 30 gigawatt (GW) sekiranya dibangunkan sepenuhnya.

Pada masa ini, Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti penjanaannya kepada 10,000 MW atau 10 GW menjelang  2030 dan kepada 15,000 MW atau 15 GW menjelang 2035.

“Selain daripada potensi kuasa hidro, terdapat juga potensi besar untuk kami membangunkan tenaga boleh baharu melalui tenaga solar dan biotenaga daripada biojisim dan sisa,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah turut memaklumkan bahawa Sarawak akan menganjurkan Minggu Sarawak bertemakan “Sustainability for Tomorrow” di Pavilion Malaysia sempena World Expo Osaka dari 4 hingga 10 Ogos.

Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka merangkumi keluasan 2,654.52 meter persegi merentasi tiga tingkat yang menggambarkan kepelbagaian budaya dan ekonomi dinamik negara.

Dengan tema “Weaving a Future in Harmony”, pavilion itu menekankan komitmen Malaysia terhadap masa depan yang mampan, inklusif dan berwawasan.

Pavilion itu juga berfungsi sebagai hab untuk menjalin kerjasama dan dialog antarabangsa, serta sesi ceramah ringkas, pelancaran produk, tempat menandatangani memorandum persefahaman dan sesi padanan perniagaan.

Ia juga akan menjadi lokasi penganjuran forum, sidang kemuncak dan acara jaringan perniagaan yang akan meletakkan Malaysia sebagai rakan kongsi global yang dinamik.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429655