KUCHING, 1 Jun (Bernama) -- Alunan sape, alat muzik tradisional masyarakat Orang Ulu serta persembahan tarian daripada etnik berkenaan antara yang mewarnai majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak anjuran kerajaan Sarawak hari ini.
Ia bertepatan dengan pemilihan pemimpin Orang Ulu sebagai ‘tuan rumah’ majlis tahun ini yang berlangsung di Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini dan dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung daripada pelbagai kaum.
Bermula dari pukul 9 pagi hingga 2 petang, rumah terbuka berkenaan dimeriahkan dengan ketibaan tetamu kehormat Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Program itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Ammar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Tian, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala serta barisan Kabinet menteri negeri.
Terdahulu, ketibaan tetamu kehormat diiringi dengan perarakan serta persembahan Ngentau Lan’e dan Belian Suket oleh Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS), yang sering didendangkan masyarakat Kenyah bagi menyambut tetamu.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Gerawat yang juga Orang Ulu suku etnik Kelabit berkata majlis rumah terbuka tahun ini memberi peluang kepada masyarakat etnik berkenaan mengetengahkan budaya mereka menerusi pakaian dan persembahan.
“Memang kita selaku tuan rumah dan penganjur utama, kita mempamerkan budaya kita kepada orang luar… bukan sahaja Orang Ulu malah kaum lain seperti Bidayuh dan Iban,” katanya.
Sementara itu, Suzanna Nyuak, 32, yang tidak dapat menyambut pagi Hari Gawai bersama keluarga kerana tuntutan kerja, berkata majlis itu menjadi platform untuk rakyat Sarawak menyambut perayaan tersebut dengan meriah tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya bertugas sebagai penyambut tetamu untuk majlis ini dan kemeriahannya amat dirasai apabila orang sudah mula datang sejak awal lagi.
“Buat semua rakyat Sarawak khususnya keluarga saya di Kapit, saya berharap Hari Gawai tahun ini memberi lebih makna kepada kita semua untuk,” katanya yang berasal dari Kampung Nanga Ibau, Kapit.
-- BERNAMA