JENAYAH & MAHKAMAH

Lima Lelaki Direman Bantu Siasatan Lulus Pinjaman RM11.3 Juta Guna Dokumen Palsu

22/05/2025 05:26 PM

SANDAKAN, 22 Mei (Bernama) -- Lima lelaki termasuk empat pegawai bank direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes kelulusan pinjaman kira-kira RM11.3 juta menggunakan dokumen palsu antara 2022 hingga tahun lepas.

Reman hingga 28 Mei terhadap semua lelaki berumur 30-an hingga 50-an itu dibenarkan Majistret Siti Aisyah Umar Baki selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Menurut sumber, semua suspek dipercayai bersubahat meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 daripada pemilik syarikat sebagai dorongan untuk meluluskan 39 permohonan pinjaman kewangan dengan menggunakan dokumen sokongan palsu.

Semua suspek ditahan antara 2 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425727