PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merakam keterangan bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Perdana Menteri kesembilan itu.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan menemui Datuk Jovian Mandagie di Indonesia dalam masa terdekat.
“Keterangan beliau diperlukan untuk mengesahkan tentang sesuatu aset yang diisytiharkan oleh Ismail Sabri.
“Kira-kira kes ini akan selesai siasatan pada akhir bulan Jun dan kemudian kita akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Azam berkata rakaman percakapan itu adalah susulan arahan SPRM kepada Ismail Sabri untuk membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata sebanyak 57 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan setakat ini.
Ismail Sabri mengisytiharkan sumber-sumber perolehan beliau pada 10 Feb lepas.
Pada 3 Mac lepas, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safe house susulan serbuan pihaknya.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sementara itu Azam berkata SPRM memberi jaminan akan menjalankan siasatan sekiranya terdapat elemen rasuah berhubung ketelusan harga MyKiosk.
Beliau berkata SPRM menerima laporan daripada MCA semalam manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membekalkan beberapa dokumen berkaitan hari ini.
“Setakat ini kalau yang dilaporkan kepada kami adalah berdasarkan daripada maklumat media sosial. Kita perlu membuat pengesahan terlebih dahulu, tak boleh terus buat kesimpulan,” katanya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebelum ini berkata pihaknya terbuka untuk disiasat berhubung ketelusan harga MyKiosk.
Mengenai kes rasuah dan pengubahan wang haram Datin Seri Pamela Ling Yueh, Azam berkata SPRM menahan wanita terbabit kerana gagal hadir bagi memberi keterangan.
“Sebenarnya beliau ditangkap kerana gagal untuk hadir, bukan kerana ditangkap atas siasatan kami. Gagal hadir ini merupakan satu kesalahan, mengingkari perintah, itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata Pamela bukanlah suspek dalam siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram yang dijalankan, namun wanita itu hanya dipanggil untuk membantu siasatan dan bukan untuk tujuan penahanan.
-- BERNAMA