POLITIK

PRN Sabah: Warisan Tanding Solo, Guna Logo Sendiri

21/05/2025 06:28 PM

KOTA KINABALU, 21 Mei (Bernama) -- Parti Warisan (Warisan) sekali lagi menegaskan akan bertanding secara solo dengan menggunakan logo parti sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Setiausaha Agungnya Datuk Loretto Padua Jr mengesahkan bahawa partinya tidak bersama mana-mana gabungan politik bagi menghadapi PRN ke-17 berkenaan.

Beliau berkata parti itu sejak awal konsisten sebagai satu-satunya parti pembangkang di Sabah, dan berpendapat gabungan politik bukan jawapan untuk kemakmuran Sabah kerana masa depan negeri itu memerlukan satu gerakan yang tegas dan berteraskan rakyat.

“Parti Warisan sedang giat membuat persiapan menghadapi PRN Sabah. Pendirian kami jelas iaitu gabungan Warisan ialah bersama rakyat. Kami tidak akan terlibat dalam permainan politik yang sedang berlaku, perjuangan kami adalah demi hak dan masa depan rakyat Sabah.

“Pilihan raya kali ini adalah tentang memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang untuk Sabah dan bukan mereka yang hanya pandai bermain politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terbubar automatik pada 11 Nov ini, iaitu penggal itu bermula pada persidangan pertama dan pembukaan rasmi DUN Sabah selepas PRN Sabah Ke-16, disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 12 Nov 2020.

Pembubaran DUN Sabah Ke-16 bakal membuka laluan kepada PRN Sabah Ke-17 diadakan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425350