LANGKAWI, 22 Mei (Bernama) -- Kerajaan terus memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk memanfaatkan keupayaan sedia ada dalam menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu mencerminkan keyakinan dan sokongan berterusan kerajaan terhadap pemain industri pertahanan tempatan, yang diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pihak luar.
Beliau berkata perkara berkenaan juga adalah antara matlamat yang ingin dicapai Kementerian Pertahanan dalam membuat perolehan semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25).
“Dalam hal ini, antara kontrak yang telah dimeterai termasuklah penyelenggaraan dan pembaikan kapal selam Kelas Perdana Menteri kepada BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES).
“Selain itu, kontrak sewaan empat buah helikopter tambahan berkeupayaan siang dan malam kepada Weststar Aviation Services Sdn Bhd dan kontrak perolehan stok apungan tambahan bagi enjin TP400-D6 dan “Low Pressure Turbine” pesawat A400M kepada Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA),” katanya di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani dan Penyerahan Dokumen Kontrak, Surat Setuju Terima (SST), Surat Niat (LOI) serta Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM11 bilion antara Kementerian Pertahanan dengan rakan strategik.
Selain itu antara syarikat tempatan yang menerima kontrak termasuk syarikat G7 Global Aerospace melibatkan kontrak “Sustainment Program” (Program Pengekalan) pesawat pejuang F/A-18D dan Kontrak Selenggaran bagi Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 kepada Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd.
-- BERNAMA